Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

554 Anak Yatim Terima...

HULU SELANGOR - Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah hari ini berkenan ­menyampaikan...

Eew… Tertelan Bangkai Cicak...

JIJIK, bangkai seekor cicak ditemui dalam Tiramisu oleh seorang pengunjung sebuah restoran makanan...

Cerita Sebenar 6 Maut...

Oleh: Fahmi Hassan Al AbadRAMAI yang gusar dengan tajuk berita ini. Ya, jika...

Saya Tak Boleh Jika...

BATU PAHAT - "Kalau tak tengok besi sehari tak boleh, kerana sukan bina...

Artis Teruja PRU14, Zizan Pulang 3 Hari Awal

SEPERTI yang telah diumumkan, tanggal 9 Mei depan menjadi tarikh di mana seluruh rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Memandangkan tarikh tersebut jatuh pada hari bekerja, kerajaan telah mengumumkan cuti am tambahan bagi seluruh negara pada hari berkenaan dan orang ramai pastinya sudah mula merancang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing untuk mengundi.

Lapor portal Malaysian Digest, para artis tanah air juga teruja untuk menjalankan tanggungjawab tersebut dan sebilangan dari mereka akan pulang mengundi di kampung halaman bagi PRU14 ini.

Bagi pelawak dan pelakon terkenal, Zizan Razak yang akan membuang undi di tempat kelahirannya di Dungun, Terengganu, dia kini bersemangat untuk menunaikan kewajipan tersebut dan telah merancang untuk pulang lebih awal bagi mengelakkan terperangkap dalam dalam kesesakan lalu lintas.

“Mengundi itu adalah kewajipan kita sebagai rakyat Malaysia, jadi kita memang harus balik mengundi.

“Mungkin saya akan balik tiga atau dua hari sebelum hari mengundi kerana saya risau akan kesesakan lalulintas. Sejurus selepas mengundi saya akan balik ke Kuala Lumpur,” kata pelakon filem Abang Long Fadil 2 itu.

Tambah Zizan, tarikh mengundi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) pada pertengahan minggu itu sepatutnya bukan menjadi alasan untuk rakyat tidak keluar mengundi.

Ujar Zizan, proses mengundi itu sendiri tidak mengambil masa yang lama dan orang ramai boleh terus pulang ke rumah selepas menunaikan tanggungjawab itu.

“PRU kali ini pada pertengahan minggu, saya rasa tiada masalah lagipun mengundi bukannya lama, pergi mengundi dan balik.

 Kalau saya yang bekerja sendiri dan tiada bos, mudah bagi saya untuk merancang tetapi untuk orang lain saya tidak pasti,” jelasnya kepada portal tersebut.

Menurut seorang lagi artis iaitu pelakon, Faezah Elai, dia kini sedang terikat dengan proses penggambaran sebuah drama bertajuk Cinta Fatamorgana yang akan berterusan sehingga tarikh PRU14.

Pun begitu, drama berkenaan yang diarahkan suaminya, Heykal Hanifah tetap memberi kelonggaran dan menunda penggambaran buat seketika bagi memberi peluang kepada kru produksi untuk pulang mengundi pada hari berkenaan.


“Buat masa ini saya sedang menjalani penggambaran drama bersiri. Tapi tengok macam mana nanti, sebab Heykal (pengarah) beritahu pada hari itu shooting akan rehat.

“Jadi saya akan pulang mengundi cuma belum tahu lagi bila saya akan balik ke kampung,” jelasnya.

Biar pun kerajaan telah mengumumkan hari tersebut sebagai cuti umum, aktres daripada Gelugor, Pulau Pinang ini berpendapat bahawa ia tetap akan menyukarkan sesetengah pihak memandangkan ia jatuh pada pertengahan minggu.

“Bagi saya, untuk mereka yang bekerja dengan syarikat mungkin tetap berdepan dengan masalah. Sebab ia jatuh pada hari pertengahan minggu bekerja jadi mereka kena balik cepat sebab esoknya kena masuk kerja,” katanya memberi pandangan.

Bagi seorang lagi selebriti iaitu pelakon dan usahawan, Fizo Omar, dia menjangkakan suasana PRU14 ini akan lebih meriah. Bagi menunaikan tanggungjawab mereka, dia dan isterinya, Mawar Karim akan pulang ke kampung masing-masing untuk mengundi.

“Saya rasa PRU kali ini lebih meriah. Saya rancang untuk balik dua hari awal. Kali ini saya dan Mawar, kami berasinganlah.

“Saya balik Kota Bharu dan Mawar ke Permatang Pauh. Mungkin saya hantar Mawar dulu kemudian baru balik ke Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Fizo berkata sebagai majikan, hari mengundi pada tahun ini sedikit mencabar untuknya yang berniaga, namun akan tetap memberikan perlepasan untuk para pekerjanya pulang mengundi.

Oleh itu, Fizo akan menutup perniagaan restorannya dan memberikan cuti dua hari kepada pekerjanya bagi memudahkan mereka merancang perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Kalau hanya sehari cuti, mungkin sukar sebab mungkin tiket habis atau kesesakan lalulintas. Kami sebagai majikan sudah lunaskan tanggungjawab kami, terpulang kepada para pekerja untuk merancang perjalanan dan masa mereka,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC/EZ

Kategori