PASIR PUTEH – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berdepan saingan tiga penjuru di Parlimen Pasir Puteh selepas dicabar Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS) dan Datuk Kamaruddin Md Nor (PKR-PPBM) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Kerusi tersebut sebelum ini disandang Nik Mazian Nik Mohamad (PAS) yang menewaskan Tuan Mustaffa Tuan Mat (BN) dengan majoriti 1,888 undi pada PRU13 yang lalu.
Empat DUN dalam Parlimen itu iaitu Selising, Limbongan, Semerak dan Gaal turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan BN, PAS dan PKR.
Penyandang DUN Selising, Zulkifle Ali (BN) akan bertemu Tuan Mohamad Saripudin Tuan Ismail (PAS) dan Ismail Mohamad (PKR).
Di DUN Limbongan, Mohd Hanafiah Abdul Aziz (BN) akan ditentang Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah (PAS) dan Zairi Yaakob (PKR).
Di Semerak, Ketua UMNO Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman yang mempertahankan kerusi DUN berkenaan, dicabar Wan Marzudi Wan Omar (PKR) dan W Hassan W Ibrahim (PAS).
Bagi DUN Gaal pula, ia turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kaisan Ab Rahman (BN), Mohd Rodzi Ja’afar (PAS) dan Ab Rahman Yaacob (PKR). – BERNAMA