KUANTAN – Satu organisasi khas akan diwujudkan dalam masa terdekat bertujuan mengembalikan semula identiti dan budaya bangsa Champa yang semakin dilupakan di negara ini, terutama dalam kalangan generasi muda.
Presiden Persatuan BangsaChampa Dr Daisa Dao berkata organisasi itu antara lain akan mengadakan lebih banyak program bagi mengeratkan silaturrahim antara mereka terutama yang berada di Malaysia.
“Di Malaysia sahaja terdapat lebih 50,000 bangsa Champa, begitu juga di negara lain di dunia. Jadi organisasi itu akan mengumpul semula data dan informasi berkenaan bangsa Champa supaya identiti dan budaya bangsa ini dapat dihidupkan semula di seluruh dunia.
“Hal ini kerana bukan sahaja orang luar malahan golongan muda kami turut keliru antara bangsa Champa dan Khmer…yang mereka tahu ialah ibu bapa mereka bangsa Champa tetapi tiada bukti kewujudan bangsa ini. Sedangkan bangsa ini adalah serumpun dengan Melayu Nusantara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita menerusi jurubahasa Champa pada Kongres Antarabangsa Bangsa Champa, di sini hari ini.
Katanya sebelum ini tiada organisasi khas yang berperanan menyatupadukan bangsa Champa yang terdapat di seluruh dunia termasuk di Vietnam, Kemboja dan Wilayah Hainan, China, sehingga menyebabkan program mengeratkan silaturrahim sesama mereka jarang diadakan.
Sementara itu Presiden Persatuan BangsaChampa Pahang Isa Ahmad berkata kini terdapat lebih kurang 10,000 bangsa Champa yang menetap di negeri ini.
Katanya kebanyakan mereka menetap di Kuantan dan Pekan serta bekerja sebagai nelayan, petani dan peniaga.
Dalam pada itu, Isa berkata beliau yakin bangsa Champa di negeri ini akan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) yang selama ini banyak membantu mereka dalam menjalani kehidupan yang aman dan sejahtera di negara ini.
“Kita akan bersama dengan kerajaan sekarang…buat apa kita hendak sokong yang lain jika kerajaan yang ada sudah cukup baik,” katanya. – BERNAMA