JARINGAN hatrik Lionel Messi memberi kemenangan bergaya 4-2 Barcelona ke atas Deportivo La Coruna, awal pagi tadi.
Dengan kemenangan itu juga, Barcelona turut dinobatkan selaku juara La Liga buat kali ke-25.
Barcelona berkunjung ke Estadio Riazor dengan hanya perlu sekadar mencatat keputusan seri untuk diangkat sebagai juara.
Anak buah Ernesto Valverde itu bermula cemerlang menerusi jaringan Philippe Countinho yang dibawa masuk dari Liverpool musim panas lalu pada minit ketujuh.
Tidak lama kemudian, Messi terus meletakkan Barca di depan apabila meledak gol kedua pada minit ke-38.
Dia turut menjadi pemain pertama menjaringkan 30 gol atau lebih banyak gol dalam tujuh musim berbeza.
Namun Depor kembali bangkit menerusi Lucas Perez dan Emre Colak ketika pasukan itu berusaha memberikan tekanan kepada Barca.
Walaupun terus diasak pasukan tuan rumah, Barca tetap sukar dijinakkan apabila Messi meledak lagi dua gol pada minit ke-82 dan 85.
Barcelona mengutip 86 mata dengan beberapa lagi perlawanan perlu diharungi.
Atletico Madrid yang menduduki tangga kedua sukar mengejar Barca, ketinggalan 11 mata dengan baki tiga perlawanan dalam tangan.
Dalam pada itu, Real Madrid pula menduduki tangga ketiga dengan mengutip 71 mata. – mStar Online