KUALA LUMPUR – Bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Dr Mazlan Ahmad, 75, meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini malam tadi.
Allahyarham berusia 75 tahun yang juga bekas Ketua Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, ketika dihubungi BERNAMA, mengesahkan perkara itu.
“Allahyarham meninggal dunia di HUKM,” katanya.
Sementara itu, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohamedsha Mislam menerusi catatan di laman sosial Facebooknya, berkata Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.30 malam.
“Tan Sri Mazlan Ahmad exKPPA (bekas Ketua Pengarah, JPA) and Datuk Bandar KL passed away at 7.30 pm. HUKM. Alfatehah,” katanya.
Allahyarham, yang dilahirkan di Perlis, dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur yang keempat pada 17 Nov 1992 sehingga 12 Dis 1995 sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah JPA pada 13 Dis 1995 dan memegang jawatan itu sehingga bersara pada 15 Dis 1998. – BERNAMA