NEW YORK – Seorang bekas pemimpin pasukan bersenjata Libya yang pernah mengetuai pasukannya melakukan pembunuhan dan kanibalism semasa perang saudara dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun oleh mahkamah Amerika Syarikat (AS) semalam atas kesalahan penipuan imigresen serta bersumpah bohong.
Menggunakan nama samaran ‘Jungle Jabbah’ atau nama sebenar Mohammed Jabateh, bekas komander Gerakan Bersatu Liberia untuk Demokrasi (ULIMO) berusia 51 tahun itu mengetuai pasukan pemberontak berkenaan dan terbabit dalam siri pembunuhan, rogol serta aktiviti kanibal semasa perang sivil Liberia antara tahun 1989 hingga 2003, sebelum ditahan pada Mac 2016.
Jabateh dipenjara bukan atas kekejaman yang dilakukan tetapi kerana berbohong kepada pihak berkuasa AS ketika memohon perlindungan suaka pada tahun 1998 dan ketika cuba mendapatkan status penduduk tetap.
Dia disabitkan dengan dua kesalahan penipuan dokumen imigresen dan dua kesalahan bersumpah bohong pada Oktober lalu.
Pendakwa bagaimanapun memanggil 17 rakyat Liberia untuk memberikan keterangan mengenai kekejaman dilakukan Jabateh serta anggotanya, yang antara lain terbabit membunuh seorang ketua kampung sebelum mengambil hati mangsa dan memakannya beramai-ramai selepas diserahkan kepada isteri si mati untuk dimasak.
Pendakwa William McSwain dalam satu kenyataan berkata, kekejaman dilakukan Jabateh melampaui batas pemikiran manusia normal .
“Defendan bertanggungjawab atas kekejaman yang menghantui Liberia untuk beberapa generasi. Dia fikir boleh bersembunyi di negara ini tetapi atas kesungguhan pihak pendakwa dan pasukan penyiasat, cubaan itu berjaya digagalkan,” katanya. – AFP/BH ONLINE