KUALA LUMPUR – Projek bertunjangkan kepentingan rakyat (Infra Rakyat) yang amat penting bagi pertumbuhan ekonomi dan negara, ternyata tidak diendahkan oleh bekas pemimpin manakala aspek pengangkutan awam pula diabaikan sepenuhnya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata, bekas pemimpin berkenaan memiliki impian yang tidak realistik serta kurang memahami aspek komersial yang menyebabkan negara ini ketinggalan.
“Kita kemudiannya menyedari bukan sahaja banyak yang perlu dikejar tetapi juga perlu bekerja keras untuk mengatasi persaingan serta memiliki sistem pengangkutan awam yang bertaraf dunia,” katanya ketika berucap pada Persidangan Rantaian Bekalan Kebangsaan Mengenai Projek Rel dan Pameran Kerjaya 2018 anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan.
Sambil menyangkal tuduhan dan pembohongan dilemparkan oleh segelintir pemimpin pembangkang mengenai projek pengangkutan, Najib menegaskan Malaysia sebaliknya akan berdepan ‘malapetaka’ atau keadaan jauh lebih teruk jika semua projek berkenaan dibatalkan.
“Malaysia kemudiannya akan dikenali sebagai negara yang tidak mengotakan janji. Berpuluh-puluh ribu rakyat negara ini akan kehilangan kerja yang disandang atau harapkan,” katanya.
Sambil merujuk Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sebagai bukti, Perdana Menteri berkata negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung akan berasa dikhianati dan sekali lagi dipinggirkan jika projek tersebut dibatalkan.
Malah, tegas Najib, ECRL adalah matlamat besar bertujuan membangunkan rangkaian pengangkutan yang moden, berkesan serta kesalinghubungan yang baik.
Ia juga mampu memberi perubahan besar terhadap kehidupan rakyat selain memastikan Malaysia di landasan tepat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, kata Najib.
Menurut beliau, Transit Aliran Massa (MRT) misalnya dijangka mewujudkan 130,000 pekerjaan manakala projek pembangunan ECRL sahaja dapat menghasilkan lebih 80,000 pekerjaan.
Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) pula akan menyediakan kira-kira 22,000 pekerjaan untuk profesional dan pekerja berkemahiran selain memberi banyak manfaat di sepanjang laluan terbabit.
Najib berkata, impak HSR bagi tempoh lebih 50 tahun itu termasuk menjana pendapatan tambahan sebanyak RM650 bilion dalam Pendapatan Negara Kasar (PNK) serta 442,000 pekerjaan baharu.
Menurut Perdana Menteri, Program Transformasi Nasional dapat dilaksanakan hasil daripada pendekatan kerajaan yang bertanggungjawab beserta kerja keras berjuta-juta rakyat Malaysia.
Malaysia juga berjaya mencatat peningkatan PNK melebihi 50 peratus dan mewujudkan 2.7 juta pekerjaan baharu, termasuk lebih sejuta pekerjaan berpendapatan tinggi, kata Najib. – BERNAMA