PUTRAJAYA – Seramai 140 bekas peneroka Kampung Gatco gagal dalam usaha terakhir mereka di Mahkamah Persekutuan hari ini berhubung pemilikan tanah di Bahau Negeri Sembilan.
Ini berikutan keputusan panel tiga anggota diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif menolak permohonan mereka memohon kebenaran untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka.
Raus berkata peroalan perundangan pertama yang dibangkitkan oleh peguam yang mewakili peneroka tersebut ialah berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman yang difailkan mereka tanpa dibicarakan secara penuh.
Beliau berkata kes-kes boleh ditolak selepas perbicaraan penuh atau tanpa perbicaraan dan hakim boleh membuat keputusan secara ringkasan sambil menambah tidak ada alasan untuk kes itu dibicarakan secara penuh.
Raus berkata peneroka tidak dapat berhujah bahawa mereka mempunyai hak milik ke atas tanah yang dipertikaikan kerana isu tersebut telah diputuskan.
Raus yang bersidang bersama hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Aziah Ali memerintahkan peneroka membayar kos sebanyak RM10,000 kepada pembubar Gatco’, K. Jayapalasingam dan Yong Yoon Shing dan RM10,000 lagi kos kepada Thamarai Holdings Sdn Bhd.
Pada 1977, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sembilan (SEDC) memajakkan tanah itu kepada Great Alonioners Trading Corporation Bhd (Gatco).
Peneroka tersebut mendakwa mereka adalah anggota Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) dan pada 1977 NUPW menggabungkan sebuah syarikat dikenali Gatco dengan objektif utamanya melaksanakan skim pembangunan tanah untuk menanam tebu yang kemudian ditukar kepada getah.
Para peneroka membayar RM7,600 setiap seorang sebagai pendahuluan sebelum bekerja di tanah tersebut tetapi skim itu gagal dan Gatco terpaksa mengambil pinjaman daripada dua syarikat kewangan.
Pada 21 Nov, 1996, Gatco dibubarkan atas petisyen yang dikemukakan oleh M. Karupanan Trading kerana dikatakan menanggung hutang sebanyak RM135,000. Walaupun syarikat itu dibubar, pembubar yang dilantik menjual tanah tersebut kepada Thamarai Holdings.
Para peneroka menyaman kedua-dua pembubar dan Thamarai Holdings berhubung tanah tersebut dengan menuntut ganti rugi dan relif lain yang dianggap patut oleh mahkamah berhubung penjualan hartanah 4,600 ekar bagi RM16 juta pada 2004.
Pada 2016, Mahkamah Tinggi menolak saman yang difailkan oleh peneroka hanya atas persoalan undang-undang dan tidak ada perbicaraan. Tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak rayuan peneroka. – BERNAMA