PUCHONG – Pernah bertugas di langit biru dan kemudiannya menjadi kakitangan di pejabat , K. Shanmugan kini sibuk menguruskan ladang ternakan ayamnya di sini.
Walaupun masih baru mengusahakan ladang ternakan ayam, lelaki berusia 38 tahun ini, kini sibuk mengatur pelbagai rancangan untuk masa hadapan perniagaannya itu.
Segalanya bertitik tolak daripada nasihat Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri M. Saravanan.
“Datuk Seri Saravanan yang menasihatkan saya supaya menternak ayam kerana menurut beliau, sektor penternakan dan pertanian mempunyai potensi bagi golongan belia.
“Beliau memperkenalkan pusat latihan Yayasan Gerakan Afirmatif Baharu (NAAM) yang banyak mengajar saya mengenai selok-belok perniagaan,” kata bekas pramugara Malaysia Airlines itu kepada Bernama pada majlis perasmian ladangnya, di sini baru-baru ini.
AYAM MUTIARA LUMAYAN
Shanmugan membuat keputusan untuk membuka ladang ternak ayam setelah tahu dan yakin bahawa ia adalah industri yang menguntungkan.
“Latihan di NAAM sangat komprehensif termasuk asas perladangan dan penternakan, cara memilih jenis ayam ternakan, pemakanannya malah pengurusan perniagaan.
“Latihan juga merangkumi cara menjalankan perniagaan yang berjaya dan mencari peluang dalam industri-industri yang boleh diceburi,” tambahnya.
Shanmugan dan rakan kongsinya melabur sebanyak RM50,000 untuk memulakan ladang ternakan ayam demi mencapai impian mereka.
Mereka menyewa sebidang tanah seluas 2.5 hektar di Kampung Pulau Meranti Tambahan di sini, menyediakan pelbagai keperluan ladang dan mula menternak 400 ekor anak ayam mutiara.
Mengapa ayam mutiara? Ayam mutiara bukan sahaja tahan cuaca panas malah tahan lasak, mudah dijaga dan kurang makan berbanding ayam telur dan ayam daging. Ayam mutiara mempunyai nilai komersial yang tinggi berikutan dagingnya yang berkhasiat dan rendah kolesterol berbanding ayam daging.
Seekor ayam betina yang berusia lebih sembilan bulan mampu bertelur sehingga 30 biji pada satu-satu masa. Selain itu, pengusaha tidak perlu tunggu lama untuk mendapat hasil kerana anak ayam berusia dua setengah bulan sudah boleh dijual.
Kini, Shanmugan dan rakannya itu tidak menoleh ke belakang lagi malah bertekad mengembangkan perniagaan itu – Al Sha Chicken Village Farms.
Mengenai rancangan masa hadapan, beliau berharap dapat menambah bilangan ayam kepada 5,000 ekor dalam tempoh terdekat.
“Pada peringkat ini, saya memerlukan bantuan kewangan untuk membesarkan reban-reban ayam, iaitu kira-kira RM36,000 untuk mengembangkan perniagaan ini.
“Saya berharap dapat membekalkan 5,000 ekor ayam untuk pasaran tempatan dalam tempoh enam bulan akan datang,” kata Shanmugan yang kini dibantu tiga pekerja di ladangnya.
PULANGAN CEPAT
Memuji latihan-latihan di NAAM, Shanmugan berkata: “Kebanyakan belia India datang ke NAAM dengan harapan mendapat bantuan penuh untuk memulakan perniagaan, tetapi itu bukanlah kaedahnya.
“Sebenarnya, mereka perlu ada persediaan asas seperti modal memulakan perniagaan manakala NAAM pula akan menyediakan latihan dan nasihat yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan itu,” tambah beliau.
Oleh itu, belia yang berminat hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya 50 peratus daripada pelaburan mereka dan sekiranya memerlukan lebih banyak modal pada peringkat seterusnya, NAAM membantu mereka dalam aspek kewangan.
Saravanan yang juga penyelaras NAAM ketika berucap pada majlis berkenaan berkata keselamatan makanan adalah penting, oleh itu industri penternakan adalah bidang yang sangat baik untuk diceburi oleh kalangan belia India.
“Melalui program ini, kami berharap golongan penternak seperti Shanmugan dapat memperoleh pendapatan kira-kira RM20,000 dalam tempoh dua bulan.
“Sektor penternakan boleh memberi pulangan yang cepat dan baik, iaitu dalam masa 60 hari,” tambah beliau yang turut menyumbang 100 ekor ayam belanda kepada Shanmugan.
Timbalan menteri itu berharap golongan belia lain akan mengikut jejak Shanmugan.
NAAM ditubuhkan untuk membantu belia India di negara ini melalui keusahawanan, pembiayaan perniagaan dan pembangunan modal insan. – BERNAMA