RUMAH tangga yang hancur membuatkan penyanyi dan komposer Hafiz Hamidun lebih matang dan mahu ia dijadikan pengajaran kepada mana-mana pasangan yang baru berumah tangga.
Malah, Hafiz juga berlapang dada jika ada pasangan yang mahu berkongsi pendapat atau pun memerlukan khidmat nasihatnya berkaitan dengan isu rumah tangga.
“Jangan jadi macam saya. Ketika berdepan kemelut rumah tangga dahulu, saya ingatkan diri ini kuat. Saya kerah segala tenaga yang ada untuk selesai setiap masalah sendiri,” katanya dipetik daripada portal BH Online.
Kemelut antaranya bersama dengan bekas isterinya yang merupakan usahawan produk kecantikan, Joy Revfa itu membuatkan dia lebih berhati-hati dalam membuat keputusan selepas ini.
“Tanpa saya sedar, ia memudaratkan diri. Saya hampir jadi gila kerana terlalu tertekan. Saya lupa sebenarnya, saya memerlukan sokongan dan tidak boleh memendam masalah bersendirian.
“Mujur saya cepat tersedar, jumpa pakar psikiatri untuk minta pandangan. Sejak itu, saya banyak luang masa bersama keluarga dan kawan untuk pulihkan semula kekuatan yang hilang,” tambahnya lagi.
Selepas memasuki lembaran tahun 2018, Hafiz berasa bersyukur kerana isu rumah tangganya itu tidak lagi dibangkitkan oleh mana-mana pihak sekalipun.
Selain itu, segala kemelut turut telah diselesaikan dengan cara baik oleh kedua-duanya kerana tidak mahu ia terus berpanjangan.
Belajar daripada kesilapan, penyanyi berusia 34 tahun itu sememangnya belum lagi menutup pintu hatinya untuk mana-mana bunga tetapi kini dia mahu lebih memberi fokus utama kepada kerjaya seni.
Dalam masa yang sama, dia juga sedang dalam proses mempromosikan single balada baharunya berjudul Jangan Berhenti, hasil tulisannya bersama dengan komposer Azlan Abu Hassan.
“Lagu ini saya jadikan sebagai motivasi untuk diri. Saya ambil masa dua minggu menyiapkan lirik lagu ininuntuk menggambarkan perjalanan yang pernah saya lalui.
“Ia bukan inspirasi daripada kisah perceraian saya kerana saya sudah lama tutup buku, sebaliknya rumusan daripada perjalanan menempuh hidup baharu,” tambahnya. – MYNEWSHUB.CC/AH