SEMALAM, Ketua Komanwel, Ratu Elizabeth II merasmikan persidangan Komanwel buat kali yang terakhir sambil menyuarakan harapan agar anakandanya dibenarkan mengambil alih jawatan itu.
Baginda yang bakal cecah usia 92 tahun, pada Sabtu ini mengalu-alukan pemimpin 53 negara anggota Komanwel; kebanyakannya bekas negara jajahan Britain, di Istana Buckingham di London untuk persidangan selama dua hari.
Lebih dikenali sebagai Commonwealth Heads of Government Meeting (CHOGM) atau Mesyuarat Ketua Kerajaan Komanwel, organisasi ini dianggap sebagai kedua terbesar di dunia selepas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
Persidangan di ibu kota England itu merupakan kali ke-25 sejak 1971 dengan membincangkan isu perdagangan, perlindungan marin selain usaha banteras jenayah siber. CHOGM kali terakhir di Valetta, Malta pada 2015 lalu.
Dalam ucapan perasmian CHOGM, Ratu Elizabeth II menceritakan ‘perjalanan luar biasa’ baginda sebagai ketua Komanwel yang ditubuhkan mendiang ayahandanya, Raja George VI menerusi Pengisytiharan London pada 1949.
“Beta berharap Komanwel akan terus menjamin kestabilan dan kelangsungan organisasi ini untuk generasi akan datang dan mereka (pemimpin negara anggota) pula akan membuat keputusan mengenainya pada masa depan.
“Putera Wales akan menyambung tugas penting ini yang dimulakan mendiang ayahanda beta pada 1949,” titah baginda merujuk kepada Putera Charles. Ratu Elizabeth II adalah ketua simbolik untuk kumpulan itu sejak 1952.
Baginda hanya tidak hadir ke persidangan CHOGM di Colombo, Sri Lanka pada 2013 iaitu julung kali dalam tempoh 40 tahun. Pada 2020, sidang itu bakal diadakan di Malaysia, kali kedua ia berlangsung di negara ini selepas 1989.
Baca: Britain Kecoh Ratu Elizabeth II Ada 2 Tarikh Lahir
Bagaimanapun CHOGM kali ini agak bersejarah apabila pada hari penutupan persidangan lewat Jumaat ini, semua pemimpin negara Komanwel membincangkan siapakah akan ganti Ratu Elizabeth II untuk peranan ketua badan itu.
Jawatan ini bukan menerusi pewarisan, namun Putera Charles yang juga pewaris takhta 16 buah negara Komanwel dijangka mendapat persetujuan; walaupun wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan pelampau Republikan.
Itu cerita Komanwel yang menyaksikan Ratu Elizabeth II berundur atas faktor usia, sementelahan baginda sudah pun diiktiraf sebagai ketua negara, pemimpin wanita waima pemerintah diraja paling lama memerintah di dunia.
Ironi, di Malaysia; yang mencapai kemerdekaan daripada British pada 1957, lain pula halnya apabila bekas perdana menteri dan kini tokoh pembangkang bercita-cita mahu menjadi ketua kerajaan sekali lagi dalam usia tua 93 tahun.
Tun Dr. Mahathir Mohamad dilaporkan bakal menjadi perdana menteri buat kali kedua jika pakatan pembangkang, yang tidak diiktiraf Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) itu; menang Pilihan Raya Umum Ke-14 bulan depan.
Beliau yang menerajui Malaysia selama 22 tahun sebelum undur pada 2003, pernah dikutuk pembangkang sebagai ‘diktator’ Maha Zalim dan Maha Firaun, tetapi kini seterunya itu pula bekerjasama dalam misi politik cukup aneh.
Pengumuman Pakatan Harapan (PH), menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri pada 7 Januari lalu; bahkan jadi bahan jenaka netizen waima penyokong mereka sendiri yang bantah dengan lancar kempen #undirosak.
Ini memaksa blok pembangkang itu membuat satu forum khas pada 22 Mac lalu anjuran akhbar Sinar Harian yang diketahui cenderung PH konon bagi justifikasi membicarakan tajuk Apakah Tun M Terlalu Tua Untuk Jadi PM?
Baca: Mahathir Sah Pecah Rekod PM Tertua Di Dunia!
Untuk rekod, perdana menteri paling tua di dunia ketika ini masih lagi disandang Morarji Ranchhodji Desai apabila tokoh pembangkang terkenal India itu menjadi ketua kerajaan negara tersebut pada 1977 lalu dalam usia 81 tahun.
Namun Guinness World Records turut perakui Philippe Petain yang pernah dahulu mentadbir Perancis pada 1940 semasa sudah berumur 84 tahun sebagai ketua kerajaan tertua di dunia setaraf jawatan perdana menteri ketika ini.
Malangnya ia dipertikai banyak pihak kerana pentadbir rekod antarabangsa tersebut tidak pula mahu mengiktiraf Aneerood Jugnath; yang rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri Mauritius pada 2014 lalu juga dalam usia 84 tahun.
Hakikatnya, dalam usia 93 tahun, Mahathir sebetulnya mengatasi bekas diktator Zimbabwe, Robert Mugabe yang juga berumur 93 tahun, tetapi sudah pun digulingkan tentera negara Afrika itu secara aman pada 21 November lalu.
Tokoh kulit hitam terkenal itu pernah jadi perdana menteri yang pertama selepas Zimbabwe merdeka dari British pada 1980, sebelum dilantik sebagai presiden sejak 1987 dan memerintah secara rejim ‘kuku besi’ selama 30 tahun.
Berbanding Ratu Elizabeth II dan Mugabe yang sudah berundur, Mahathir ternyata tidak serik ‘bermain politik’ tetapi lupa, banyak pemimpin di negara maju waima di benua Afrika sendiri tidak pernah usia hampir 100 tahun.
Adakah Mahathir lupa puisi malar segar nukilannya sendiri, Melayu Mudah Lupa, atau terlupa jiran kita, Indonesia menyaksikan mantan arwah Presiden Suharto ditumbangkan selepas 30 tahun berkuasa? – Mynewshub.cc/HAA
* Video di bawah sekadar sindiran…