SEREMBAN — Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan melancarkan manifestonya selepas pelancaran manifesto BN peringkat pusat.
Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata manifesto yang bakal dilancarkan itu akan mengandungi Aku Janji bertujuan memperkasakan dasar-dasar sedia ada.
“Manifesto kita dah siap danakan dilancarkan, dua atau tiga hari selepas manifesto kebangsaan dilancarkan pada malam esok,” katanya pada sidang media khas sempena pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Mohamad berkata selaras dengan itu, sebuah Portal Negeri Sembilan akan dilancarkan untuk rakyat melihat apa yang akan BN lakukan dan telah laksanakan sepanjang mentadbir negeri ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata manifesto BN pada penggal yang ke-13 telah hampir dilaksanakan kesemuanya.
“Dari 45 Aku Janji, 44 telah kita laksana. Yang satu lagi, menjadikan kawasan di Masjid Negeri dan sekitarnya sebagai Pusat Sumber Ketamadunan Islam, kita sengaja tidak mahu melaksanakannya kerana ia berbentuk kehendak dan bukan keperluan.
“Manifesto yang akan dilancarkan itu tiada yang baharu, cuma nak menambah nilai dan gandakan dasar sedia ada supaya kita dapat pastikan Dasar Pembangunan Negeri Sembilan 30 tahun, akan dapat kita lakukan,” katanya.
Mengenai calon-calon BN Negeri Sembilan untuk Pilihan Raya Umum ke-14, Mohamad berkata, senarai calon belum diputuskan malah beliau juga belum dipanggil oleh Pengerusi BN Pusat Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan selanjutnya.
“Kita perlu teruskan usaha memberi khidmat terbaik kepada masyarakat bagi memastikan kebajikan rakyat terjamin,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata beliau melihat sokongan rakyat kepada BN amat memberansangkan.
Terdahulu, Mohamad mengumumkan DUN Negeri Sembilan dibubarkan berkuatkuasa esok. — BERNAMA