BENTONG – Barisan Nasional (BN) Pahang dijangka menampilkan sekurang-kurangnya tiga muka baharu untuk menjadi calon peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14 nanti).
Pengerusinya Datuk Seri Adnan Yaakob berkata tiga kawasan berkenaan termasuk Parlimen Paya Besar dan DUN Lepar, yang masing-masing kematian penyandangnya, manakala satu lagi kerusi DUN.
“Tidak ramai calon baharu kerana calon lama masih diterima ramai termasuk saya.
“Saya difahamkan calon peringkat Parlimen, semua dah terima watikah dua hari lepas, manakala untuk peringkat DUN dikatakan diberi esok oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Jika betul, saya akan mengumumkannya pada Isnin atau Selasa bersama-sama dengan pengumuman Manifesto BN Negeri. Sebelum ini, dah dua kali mesyuarat untuk bincangkan perkara ini (tetapi) ada satu dua kerusi yang belum muktamad,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan ‘Program Jom Ride For Tok Nan’ di Felda Sungai Kemahal di sini, hari ini.
Program itu, yang bermula dari Kampung Datuk Sharif, disertai 450 anak muda dari sekitar DUN Pelangai dan berakhir di Felda Sungai Kemahal. Turut hadir Ketua Pemuda Bentong Ahmad Nilhakim Abdul Rahim.
Penyandang kawasan Parlimen Paya Besar Datuk Seri Abdul Manan Ismail, 69, meninggal dunia pada 12 Feb lalu manakala ADUN Lepar Datuk Mohd Shohaimi Jusoh meninggal dunia pada 31 Dis tahun lepas.
Mengulas tentang gegantung yang menyelar tentang kepimpinannya di DUN Pelangai, Adnan berkata ia dilakukan oleh individu yang kecewa.
Secara keseluruhannya, Adnan berkata beliau yakin tidak menghadapi masalah dengan sokongan pengundi di DUN Pelangai termasuk pengundi muda. – BERNAMA