ALOR SETAR – Lima tahun selepas Barisan Nasional (BN) kembali merampas Kedah selepas era PAS selama sepenggal pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12), BN telah membuktikan rakyat di negeri ini tidak salah membuat pilihan.
Kedah di tangan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah selepas mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir pada 3 Feb 2016 telah membuktikan keupayaannya untuk membangunkan negeri Jelapang Padi ini.
Apa sahaja yang dilakukan adalah untuk rakyat Kedah dan semuanya telah dilaksanakan demi meringankan beban rakyat termasuk merencanakan pembangunan demi pembangunan yang tidak pernah terfikir oleh rakyat.
Antara jaminan yang diberikan oleh pemimpin BN termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak jika rakyat terus memilih BN pada PRU14 akan datang, Bukit Kayu Hitam bakal dijadikan kawasan zon bebas cukai membabitkan nilai pelaburan sehingga RM13 bilion.
Di situ nanti, 30,000 peluang pekerjaan baharu terhidang dan demi merancakkan kawasan tersebut, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini akan dinaik taraf sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa demi meyakinkan pelabur ke situ.
Merasa cemburu dengan kejayaan BN itu, pembangkang dilihat begitu bersungguh untuk kembali mendapatkan Kedah terutama PAS dan Pakatan Harapan yang tidak jemu-jemu menghasut rakyat kononnya merekalah pejuang sebenar.
Dalam beberapa pertemuan dengan rakyat sebelum ini, Ahmad Bashah sering mengingatkan mereka agar jangan silap pertaruhan kerana kesilapan itu akan mengundang padah.
“Jangan pisang berbuah dua kali…rakyat Kedah harus ingat kesilapan yang lalu kerana ia tidak menguntungkan kita demi masa depan anak cucu kita,” katanya pada satu majlis yang turut dihadiri perdana menteri di Sungai Petani baru-baru ini.
Katanya jika rakyat menolak BN, segala perancangan untuk memajukan mereka bakal terhenti dan Kedah akan terus mundur tanpa mengecap sebarang kemajuan.
Beliau berkata kerajaan negeri yang dipimpinnya telah melakukan segala usaha untuk memajukan negeri dengan bantuan yang tiada hentinya oleh kerajaan persekutuan.
Antara usaha kerajaan negeri seperti pemberian air percuma yang dapat dimanfaatkan kira-kira 38 peratus atau 221,000 pengguna domestik di negeri ini yang menggunakan air bagi penggunaan maksimum 20 meter padu sebulan sejak Januari lepas.
Ia bermaksud kerajaan negeri menanggung kos pengguna domestik yang memiliki bil bulanan tidak melebihi RM10 yang dianggar berjumlah RM1.5 juta sebulan atau RM18 juta setahun.
Itu belum termasuk skim Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) yang dinikmati dalam pelbagai bentuk iaitu sejak rakyat dilahirkan sehingga mereka melanjutkan pengajian malah mereka yang hidup susah juga turut menikmatinya.
Ahmad Bashah sama sekali menafikan skim itu sebagai ‘gula-gula’ kepada rakyat sebaliknya ia adalah usaha menyeluruh pelbagai agensi kerajaan untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan.
Ia adalah berbentuk bantuan yang dilaksana secara konsisten tanpa perlu menunggu musim pilihan raya umum atau dilakukan selepas pemimpin pembangkang melawat sesuatu kawasan.
Hasrat sama juga diluahkan perdana menteri ketika hadir bertemu rakyat yang meminta mereka terus bersama BN demi memajukan negeri yang banyak melaksanakan aktiviti ekonomi berasaskan pertanian itu.
Katanya banyak lagi berita gembira yang bakal dinikmati rakyat sekiranya mandat besar diberikan kepada BN pada PRU14 kali ini.
Penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri kini adalah pada tahap terbaik dan rakyat dilihat dapat menerimanya.
“Contoh yang sangat baik untuk dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri…skim Barakah yang telah dilakukan oleh Kedah ini dapat meringankan beban kewangan dan begitu komprehensif apabila semua golongan menerimanya,” kata Kamarul Zaman yang merupakan Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM).
Barakah, yang dilancarkan selepas dua bulan Ahmad Bashah menjadi menteri besar, menyelaraskan sumbangan dan bantuan rakyat Kedah dan disalurkan kepada golongan sasar menerusi lima komponennya – Barakah Insan, Barakah Kemasyarakatan, Barakah Usahaniaga, Barakah Anak Muda serta Barakah Pendidikan dan Modal Insan.
Kamarul Zaman juga berharap kerajaan negeri dapat memperbanyakkan pertemuan dengan golongan muda yang merupakan penentu kepada kemenangan mana-mana parti politik bagi memperjelas perjuangan UMNO/BN untuk membela mereka.
“Peluang pekerjaan umpamanya dan hasrat untuk menjadikan Bukit Kayu Hitam sebagai zon bebas cukai langkah baik apabila peluang pekerjaan yang tinggi dapat diberikan kepada golongan muda ini. Berilah sokongan kepada mereka yang telah berbakti kepada kita selama ini dan bukannya kepada mereka yang kononnya mahu berbakti hanya pada setiap lima tahun sekali,” katanya. – BERNAMA