KUCHING – Barisan Nasional (BN) Sarawak akan mengumumkan senarai calonnya bagi bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), di sini pada 9 pagi esok.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak menyatakan tempat pengumuman akan dibuat, namun secara tradisinya ia diadakan di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) di Jalan Bako, di sini.
Sementara itu semasa dirujuk tentang keputusan Parti Rakyat Sarawak (PRS) memecat Datuk Joseph Entulu Belaun yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk William Nyalau Badak dari jawatan masing-masing sebagai timbalan dan naib presiden parti, Abang Johari berkata semua pihak perlu menghormati keputusan parti itu.
Abang Johari yang merupakan pengerusi BN Sarawak ditemui pemberita selepas menghadiri majlis graduasi Swinburne University of Technology Sarawak Campus di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini.
Malam tadi, Presiden PRS Tan Sri James Jemut Masing mengumumkan parti itu memecat penyandang kerusi Parlimen Selangau dan Lubok Antu itu bersama tiga lagi anggota Majlis Tertinggi parti kerana dikatakan menganggu kesatuan dalam parti apabila tidak bersetuju dengan senarai calon yang ditetapkan parti untuk bertanding pada PRU14.
Semasa ditanya desas-desus tentang campur tangan ‘pihak luar’ dalam penetapan senarai calon parti itu sehingga membawa kepada tindakan pemecatan itu, Abang Johari berkata semua itu adalah spekulasi semata-mata, kerana menurutnya bagi calon kerusi Parlimen, keputusan muktamad dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN pusat. – BERNAMA