SIBU – Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14 bagi memastikan suaranya untuk mendapatkan kembali kuasa-kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 yang telah terhakis lebih ‘nyaring’ didengari oleh Kerajaan Persekutuan kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata ini dapat dicapai sekiranya pengundi di negeri ini memberikan sokongan padu mereka kepada calon BN di kawasan masing-masing pada PRU14 kelak.
“Kita mesti bersatu. Kalau kita bersatu orang akan dengar suara kita,”katanya ketika berucap pada seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Peringkat Negeri Sarawak 2018 (Bahagian Sibu, Mukah & Kapit) di sini hari ini.
Seminar tersebut dianjurkan Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak.
Katanya, pada PRU14 ini BN menampilkan ramai muka baru sebagai salah satu daripada usahanya untuk mendapatkan kembali hak-hak Sarawak.
Menurut Abang Johari yang juga pengerusi BN negeri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib seorang pemimpin yang boleh dibawa berbincang mengenai perkara tersebut tetapi rakyat di Sarawak perlu menunjukkan mereka boleh bersatu di bawah BN.
Katanya, keadaan politik di Sarawak pada masa ini adalah stabil dan hanya berlaku ‘kocakan’ kecil di kalangan parti komponen BN.
“Ada kocak sikit-sikit, asalkan bukan landas (bergelora). Apabila rumah aman dan keluarga tenteram orang akan hormati kita,”kata beliau.
Abang Johari berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau sedang mengorak langkah untuk membawa Sarawak ke arah status negeri maju menjelang 2030.
Penekanan diberikan ke atas ekonomi digital di dalam pelbagai bidang termasuk pertanian bagi membolehkan penduduk di negeri tersebut meningkatkan pendapat masing-masing.
Penggunaan teknologi di dalam bidang-bidang ekonomi itu akan mampu mempercepatkan pembangunan di negeri ini dan melonjakkan pendapatan di kalangan rakyat bukan hanya di bandar bahkan di luar bandar.
“Penggunaan teknologi di dalam pertanian umpamanya boleh membantu mempertingkatkan lagi produktiviti dan hasil pertanian pun jauh lebih berkualiti. Tidak perlu gunakan cangkul atau tanah yang luas,” katanya.
Transformasi itu dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk generasi muda yang mana semakin ramai di antara mereka celik teknologi baru.
Sementara itu, beliau berkata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang yang juga ADUN Bawang Assan serta presiden UPP Datuk Seri Wong Soon Koh akan bersara dari politik selepas tamat penggal ini.
“Anak beliau Datuk Andrew Wong Kee Yew kini menjadi calon BN untuk kawasan Parlimen Sibu dan sudah menyertai SUPP. Saya menyeru pengundi di Sibu memberikan sokongan kepada beliau pada PRU14 ini,” katanya. – BERNAMA