PELABUHAN KLANG – Kerja menaik taraf Lebuhraya Pulau Indah sepanjang 17.7 kilometer (km) dengan peruntukan kira-kira RM553.5 juta adalah bukti keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam menyediakan infrastruktur terbaik untuk rakyat Selangor, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Noh, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata projek menaik taraf berkenaan menelan kos sebanyak RM250.8 juta bagi fasa pertama dan RM302.7 juta bagi fasa kedua.
Bagi fasa pertama, ia melibatkan kerja antaranya menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 4.4km dan pembinaan dua unit jambatan bagi mengurangkan kesesakan manakala fasa kedua melibatkan menaik taraf jalan berkembar empat lorong dua hala serta menyediakan bahu jalan berturap selebar dua meter, katanya.
Noh berkata demikian ketika melancarkan projek menaik taraf Fasa 2 lebuh raya berkenaan yang bermula pada awal tahun ini dan dijangka siap pada 2021.
Projek menaik taraf Lebuh Raya Pulau Indah Fasa 1 bermula pada Januari 2015 dan siap pada Februari lepas.
Seorang pengguna lebuh raya berkenaan, Mohd Budiman Ishak, 56, ketika ditemui, berkata penduduk di kawasan Pulau Indah terpaksa melalui jarak yang jauh untuk ke Pelabuhan Klang kerana tiada jalan pintas yang lebih dekat untuk mereka berbuat demikian sebelum ini.
“Sebagai penduduk di Pulau Indah saya sendiri merasai kesenangan apabila lebuh raya ini dibina dan dinaik taraf dengan empat lorong,” katanya.
Beliau berkata sebelum kerja menaiktaraf berkenaan dijalankan pengguna lebuh raya berkenaan berhadapan dengan risiko keselamatan berikutan keadaan jalan yang teruk dan berlubang apabila mahu ke Pelabuhan Klang, Klang dan Shah Alam. – BERNAMA