PENYANYI, Aweera menegaskan dirinya masih solo selain belum terfikir untuk mencari pasangan hidup buat masa ini.
Menurut Aweera, dia mengakui berasa selesa dengan keadaan tersebut dan berkata enggan memikirkan soal cinta dalam masa terdekat.
Kata anak jati kelahiran Perlis itu lagi, dia mahu menumpukan seluruh perhatian terhadap kerjaya seninya apatah lagi dia bakal menggegarkan konsert Rock Legend 2018 bersama kumpulan baharunya, Prime Domestic.
“Sejak menyertai kumpulan ini, Alhamdulillah saya banyak belajar daripada pemuzik senior terutama abang Joe yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun ketika bersama kumpulan Wings.
“Jadi, tempoh dua tahun hidup solo tanpa ada teman wanita memberikan satu kelebihan kepada saya untuk menikmati kebahagiaan menjadi seorang penyanyi.
“Maklumlah, sebagai penyanyi, saya bekerja tak tentu masa. Jadi, tak perlu fikirkan komitmen lain kecuali hal kerja,” ujar Aweera memetik sebuah portal online.
Sementara itu ditanya mengenai perkembangan kerjaya solonya, Aweera berkata dia kini sedang sibuk mempromosi single terbaru berjudul Selamatkan Aku.
Difahamkan menerusi single berkenaan, Aweera bakal berpadu suara dengan Aepul Roza dan Fiq Halim dan menggabungkan tiga pemilik vokal bernada tinggi. – MYNEWSHUB.CC/AM