KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Vietnam ketika sedang mengaut hasil laut di perairan Kemaman, semalam.
Pengarah Maritim Wilayah Timur, Laksamana Pertama Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata bot nelayan itu yang menggunakan nombor pendaftaran BD 30843 TS ditahan kira-kira 3.30 petang oleh kapal ronda APMM yang sedang melaksanakan Operasi Perkasa Timur di perairan Pantai Timur.
Beliau berkata bot tersebut ditahan pada jarak kira-kira 60 batu nautika dari Kemaman dan setelah pemeriksaan dijalankan, enam awak-awak termasuk tekong gagal mengemukakan sebarang dokumen dan pengenalan diri yang sah.
“Kesemua mereka berumur antara 23 dan 61 tahun itu ditahan dan dibawa ke jeti Pengkalan Maritim Kemaman pada 10 pagi tadi.
“Mereka akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana menceroboh perairan Malaysia,” katanya.
Beliau berkata APMM turut merampas bot dan peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan laut yang dianggarkan bernilai RM500,000. – BERNAMA