KLANG – Seramai 85 calon wanita Barisan Nasional (BN) yang ditampilkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah individu yang mempunyai rekod khidmat bakti kepada masyarakat dan membela kepentingan rakyat.
Pengerusi Wanita BN, Tan sri Shahrizat Abdul Jalil berkata sudah menjadi prinsip parti untuk tidak memilih seseorang calon wakil rakyat secara semberono sebaliknya memilih mereka yang benar-benar layak.
“Dalam BN calon-calon yang kita ketengahkan mempunyai rekod perjuangan untuk masyarakat sekian lama, lepas itu baru dipilih untuk jadi calon.
“Calon wanita yang kita tawarkan bukan calon Touch ‘n Go atau calon transit…mereka ini pemimpin bertanggungjawab yang telah memberi khidmat,’’ katanya katanya kepada pemberita selepas program ‘Ziarah Sayang‘ Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru, di Taman Meru 4, di sini hari ini.
Pada program, yang turut dihadiri calon BN Parlimen Kapar, Datuk M. Mohana dan calon DUN Meru, Khairul Anuar Saimon itu, Shahrizat meluangkan masa melawat seorang penduduk di taman perumahan tersebut, Rozita Hamam, 49, yang diserang penyakit angin ahmar sejak sebulan lalu.
Memberi contoh Mohana, beliau berkata Ketua Wanita MIC itu mempunyai potensi sangat besar dan etika kerja yang tinggi.
“Jika beliau diberi mandat untuk wakili Parlimen Kapar saya yakin Mohana adalah orang terbaik, beliau muda, cergas dan beliau boleh buat kerja. Nak cari wakil rakyat biarlah wakil rakyat yang selepas pilihan raya dia boleh turun padang nak jaga pengundi dan semua penduduk di Kapar,” katanya.
Pada PRU14, 9 Mei ini, Mohana berdepan pertandingan empat penjuru dengan calon PAS yang juga bekas ADUN Meru, Dr. Abd Rani Osman; calon PRM, S.Manikavasagam dan calon PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid.
Shahrizat, yang juga Ketua Wanita UMNO dalam pada itu menegaskan bahawa kerja-kerja politik jentera Wanita BN adalah sepanjang masa dan tidak dilakukan ketika musim pilihan raya sahaja.
“Antara kekuatan jentera Wanita adalah kita jaga kebajikan masyarakat di seluruh negara. Seperti hari ini ziarah orang sakit merupakan salah satu program yang kita dah jalankan lima tahun lepas, bukan hanya untuk pilihan raya.
“Kerja-kerja politik wanita kita bukan politik hendak menumbangkan atau memfitnah tetapi kita memberikan perkhidmatan khas untuk rakyat sepanjang masa tanpa mengira waktu,” katanya. – BERNAMA