SEREMBAN – Calon-calon yang dipilih untuk mewakili Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bagi Pilihan Raya Umum ke-14, dipilih kerana boleh melaksanakan tugas dan bukan semata-mata kerana kelayakan akademik.
Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kriteria itu ditekankan bagi mengimbangi antara wakil rakyat yang dapat menyumbang kepada pembangunan negeri dan wakil rakyat yang dapat mensejahterakan rakyat.
“Contoh seperti di Lenggeng kita perlukan seorang wakil rakyat yang boleh bercampur, yang boleh selesa dengan masyarakat.
“Jadi saya nak menutup kata orang yang wakil rakyat perlu mempunyai kelulusan akademik yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Dewan Terbuka dan merasmikan Mesyuarat Agung Pertubuhan Kebajikan Penduduk Flat Cengal Utama di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Bahagian UMNO Seremban yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan Datuk Abu Ubaidah Redza dan Calon DUN Lenggeng Mazalan Maarop.
Mengulas lanjut mengenai calon muda yang dipilih Mohamad berkata ia merupakan langkah yang diambil BN negeri dalam melatih pemimpin muda untuk bersedia mengambil alih pentadbiran negeri di masa akan datang. – BERNAMA