KUALA LUMPUR – Seorang penyelia di sebuah syarikat pembinaan jalan raya didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan dua anggota polis dengan mencakar tangan kedua-dua mereka, Jumaat lepas.
Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu ke atas P. Jeva Sankar, 50, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh melakukan perbuatan itu terhadap anggota polis Muhamad Yusof Sakban, 35, dan Mohd Nazarwan Mohd Sharip, 32, yang sedang menjalankan tugas di hadapan Hotel Nest, Jalan Sultan Azlan Shah, Dang Wangi, di sini, pada 8.15 malam 6 April lepas.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Peguam Taranjit Singh yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan dua anak serta tidak mempunyai pendapatan tetap kerana gaji yang diterima hanya mengikut projek tempatnya bekerja.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal, mengambil kira kecederaan yang dialami kedua-dua anggota polis itu. – BERNAMA