SHAH ALAM – “Saya didakwa di bawah Akta Hasutan yang konon ditentang parti pembangkang PH (Pakatan Harapan). Malah pendakwaan itu hasil laporan pemuda Pakatan Harapan sendiri. Nampak sangat sikap munafik mereka melawan bukan sebab prinsip, tetapi kepentingan sendiri.”
Itu luahan hati bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard selepas beliau didakwa di Mahkamah Shah Alam, Selangor di bawah Akta Hasutan pada 14 April lalu.
Malah, dakwa Chegubard, tiada mana-mana pemimpin PH tampil membantu beliau, sebaliknya ada dalam kalangan mereka mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyokong pendakwaan ke atasnya dibawah Akta Hasutan.
“Pendakwaan saya di bawah Akta Hasutan berikutan satu laporan polis oleh Pemuda Parti Mahathir ke atas ‘Rakaman Live fB” saya mengenai Azmin Ali, Menteri Besar ‘pintu belakang’ yang konon menghina Institusi Istana Selangor.
“Saya langsung tidak berniat menyeret Institusi Raja Melayu dalam pertembungan politik, tetapi PKR sendiri yang mula menyeret Istana dalam isu politik di Selangor apabila saya `menyerang’ beberapa projek membazir termasuk cat gerbang Darul Ehsan bernilai RM10 juta (yang kemudian diumumkan jumlah sebenarnya menjangkau RM12 juta),” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Chegubard yang disingkirkan daripada PKR kerana mendakwa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terlibat dengan penyelewengan beberapa tahun lalu memberi jaminan akan menghadapi kes itu sepenuh kudrat beliau,
“Saya terkapai untuk mencari RM6,000 wang jaminan, mencari peguam yang sanggup bantu tetapi pasport saya juga ditahan. Perniagaan utama saya ialah borong barang di China dan Vietnam. Boleh dikatakan dua bulan sekali pasti saya ke sana mendapatkan barangan namun dengan pasport saya ditahan ia sangat menyuikarkan pencarian rezeki saya.
“Namun insya Allah saya tak akan menyerah kalah. Perbicaraan kes ini akan bermula pada 16 Mei 2018. Termasuk kes ini saya sudah berdepan 5 pertuduhan mahkamah dan tangkapan ini merupakan tangkapan yang ke-38 terhadap diri saya,” katanya. – MYNEWSHUB.CC