INISIATIF menangani pencemaran udara yang berlaku di China telah memberi cetusan idea dengan pembinaan menara pembersih udara terbesar dunia yang akhirnya berjaya direalisasikan.
Lapor akhbar tempatan, menara pembersih udara itu telah berjaya siap sepenuhnya pada Mei 2016 dan kini menjalani ujian untuk melihat sama ada ia betul-betul dapat meningkatkan kualiti udara di kawasan sekitarnya.
Menara yang terletak di Xi’an, ibu kota wilayah Shaanxi di barat laut negara itu dibina dengan keluasan 2,580 meter persegi pada bahagian menara termasuk mesinnya dan mencapai ketinggian hingga 100 meter.
Pembersih udara itu boleh meningkatkan kualiti udara dalam kawasan seluas 10 kilometer yang mampu mengurangkan 15 peratus partikel halus dalam asap bahaya yang memberi kesan buruk kepada kesihatan.
Mesin pembersih udara itu juga dikatakan mampu mengasingkan segala partikel halus yang bertoksik seperti nitrogen oksida, nitrogen dioksida serta sulfur dioksida.
Selain itu, menara berkenaan juga merupakan sistem pembersihan udara berskala besar yang dibantu dengan kuasa tenaga solar.
Terdapat beberapa rumah hijau yang berfungsi untuk menarik udara tercemar ke dalam menara itu dan membersihkannya sebelum melepaskan kembali ke alam sekitar di kawasan tapak menara terbabit.
Menurut ketua penyelidik program tersebut, Cao Junji, menara berkenaan mampu membersihkan lebih 10 juta meter padu udara setiap hari bergantung kepada situasi cuaca, musim dan tahap pencemaran.
Dalam perancangan seterusnya, dianggarkan sebanyak 100 menara diperlukan untuk menampung keperluan bandar dengan keluasan 1,000 kilometer persegi di negara itu. – MYNEWSHUB.CC/MIZE