KOTA BHARU – Pemerkasaan golongan muda dan veteran menjadi visi utama bagi calon tunggal MCA yang diberi amanah oleh Barisan Nasional (BN) Kelantan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Chua Hock Kuan berkata beliau mencadangkan sebuah kompleks tertutup khusus bagi kedua-dua golongan itu melakukan pelbagai aktiviti berkaitan sukan mahupun kebudayaan jika diberi mandat oleh pengundi di kawasan itu.
“Di kompleks tertutup itu nanti, golongan muda terutama pelajar sekolah mahupun mahasiswa boleh melakukan pelbagai aktiviti sukan dan saya sendiri akan menekankan lebih banyak program berkaitan sukan untuk mereka.
“Bagi golongan veteran pula, mereka boleh menggunakannya untuk melakukan pelbagai aktiviti senaman dan kebudayaan,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan pertemuan berkelompok dengan masyarakat Cina di Kampung Limau Manis di sini, malam tadi.
Bagi meraih sokongan, pemuda berusia 38 tahun itu berkata beliau akan bertemu seramai mungkin pengundi bagi memperkenalkan dirinya sebagai calon MCA untuk DUN Kota Lama.
“Saya mula mendekati mereka sejak 2016 lagi selepas dihantar oleh MCA bagi membantu kawasan ini. Tempoh berkempen selama 11 hari merupakan minggu ulang kaji kepada saya kerana kebanyakan mereka telah mengenali saya.
“Saya juga tidak menggunakan pendekatan menyerang calon lain cuma membangkitkan beberapa isu perbandaran berkaitan masalah sampah, aliran longkang yang tersumbat dan beberapa perkara lain,” katanya.
Mengenai gerak kerjanya sepanjang minggu berkempen ini, Pengerusi Biro Sukan Pemuda MCA Kebangsaan itu berkata beliau memulakan harinya seawal pukul 8 pagi untuk ‘menjelajah’ ke segenap ceruk DUN Kota Lama.
“Selalunya saya akan bertemu pengundi di kedai kopi pada pukul 8 pagi sebelum melawat pesakit-pesakit kronik dan rumah yang kita baiki sebelum ini serta ceramah kelompok.
“Menerusi gerak kerja sebegini, saya yakin penerimaan dan sokongan masyarakat Cina terhadap MCA semakin bertambah dari hari ke hari,” katanya.
Pada PRU14 9 Mei ini, DUN Kota Lama menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Chua, Datuk Anuar Tan Abdullah (PAS), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman (PKR-PPBM), Khairul Nizam Abd Ghani (PSM) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas). – BERNAMA