NORRISTOWN – Bekas model terkenal Amerika Syarikat (AS), Janice Dickinson mendakwa beliau diberi dadah oleh aktor Bill Cosby sebelum dirogol di kediamannya di Lake Tahoe pada tahun 1982.
Keadaan tersebut ujar model terkenal pada era 1970-an dan 1980-an itu, malahan sama seperti yang berlaku pada mangsa-mangsa lain.
“Saya mahu memukul, menumbuk mukanya. Saya berasa amat marah, terhina, jijik dan malu,” katanya ketika beri keterangan pada sesi perbicaraan semula kes serangan seksual membabitkan aktor siri televisyen The Cosby Show itu.
Cosby yang memainkan watak bapa penyayang dan pakar perbidanan dalam siri itu kini dibicarakan di Pennsylvania buat kali kedua atas kesalahan memberi dadah serta melakukan serangan seksual ke atas bekas rakan sekerja, Andrea Constant, 45, pada tahun 2004.
Hampir 50 wanita telah tampil dan mendakwa dicabul Cosby puluhan tahun lalu namun kes membabitkan Constant terlalu lama untuk diteruskan manakala perbicaraan pertama Cosby pada Jun 2017 pula berakhir tanpa sebarang keputusan selepas juri menemui jalan buntu.
Cosby dituduh memberi pil khayal kepada Constant dan menyerang mangsa di kediaman pelakon itu di Philadelphia.
Aktor yang kini berusia 80 tahun itu menafikan kesemua pertuduhan dan mendakwa sebarang perlakuan seksual adalah atas persetujuan bersama manakala peguamnya pula menggambarkan Constant sebagai seorang pisau cukur.
Dickinson ialah antara individu yang dibenarkan oleh Hakim Daerah Montgomery, Steven O’Neil untuk tampil menceritakan kisah mereka di hadapan juri di mahkamah di sini. – Reuters/BH ONLINE