PEMBUNUHAN misteri seorang Imam Palestin semalam masih menjadi topik hangat diperbualkan dalam masyarakat. Allahyarham sudah lama berkecimpung di Malaysia termasuklah pernah bersama-sama dalam TV Al-Hijrah.
Seorang wartawan TV Al-Hijrah, Muhammad Syafiq Azman, berkongsikan pengalaman peribad bersama Dr. Fadi M. R. Albatsh dan keluarga warga Palestin tersebut dalam menjayakan program Majalah Islam terbitan TV Alhijrah di rumah allahyarham.
Bersama Syafiq, beberapa kru lain dari TV Al-Hijrah turut membantu menjayakan rakaman TV tersebut bertemakan sambutan Aidilfitri rakyat Palestin di Malaysia.
“Saya belikan baju Melayu warna maroon di Jalan Tuanku Abdul Rahman, berhadapan pasar raya Sogo untuk tujuan penggambaran itu. Fadi tak pernah memiliki baju Melayu dan cukup gembira menerima baju itu.
“Saya kira, Fadi hanya akan memakainya ketika penggambaran. Tetapi pada hari raya, Fadi mengenakan baju itu dan hantar gambarnya usai solat raya kepada saya. Rupanya beliau memang suka dengan baju itu,” kata Syafiq melalui laman media sosial Facebook.
Syafiq pernah meminta Fadi membuat video ucapan ulang tahun TV Alhijrah yang keenam dan dapat dikongsikan rakaman tersebut melalui media sosial.
Tambahnya, mereka juga pernah berjumpa lagi selepas rakaman video itu dan sering berhubung melalui Whatsapp berbicara berkenaan kerja dan berkongsi informasi tentang perjuangan rakyat Palestin termasuklah mengenai kekejaman Israel ketika Great March of Return di Gaza.
Namun, kesibukan kerja menyebabkan wartawan itu tidak berkesempatan untuk membalas semua Whatsapp berkenaan.
Dalam temu ramah bersamanya sebelum ini allahyarham pernah bercerita mengenai bapa saudaranya yang dibunuh oleh ‘laknatullah’ Zionis Israel di sempadan Gaza. Fadi sendiri ketika itu tidak mengetahui bapa saudaranya seorang tentera Al-Qassam dan dapat berita berkenaan setelah bapa saudaranya gugur syahid.
Syafiq yang menyifatkan bahawa kejadian yang menimpa Fadi adalah pembunuhan terancang turut berasa sedih dan simpati terhadap keluarga mangsa. Namun, dia pasti pemergiannya adalah sebagai seorang syahid dan kejadian tersebut ada hikmahnya.
“Orang baik tuhan pendekkan umurnya supaya cepat ke syurga,” ujarnya lagi.
Terdahulu, allahyarham Fadi seorang hafiz Al-Quran telah mendapat anugerah kecemerlangan akademi yang disampaikan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohammad Najib Tun Abdul Razak dalam satu majlis.
Setiap kali menjelang Ramadan, jadualnya agak padat sebagai imam tarawih di masjid dan surau. Cintanya beramal di tempat suci itu sehingga pengakhiran hidupnya juga dalam perjalan menuju ke kawasan ibadah umat Islam ini. – MYNEWSHUB.CC/MIZE