PANAS… SEORANG lelaki hari ini tampil membuat laporan polis apabila mendakwa namanya telah dimanipulasikan pihak tertentu yang bermotifkan politik di laman blog ttkmalaysia.blogspot.my.
Lelaki yang menggunakan akaun nama Muhamad Harris Nasril di laman Facebook itu turut tampil memuat naik beberapa info mendedahkan laman blog terbabit memfitnah dirinya sebagai penulis yang memuat naik empat posting sejak awal tahun lalu.
“Saya menerima satu salinan laporan polis dari rakan saya melalui aplikasi whatsapp. Laporan itu bernombor KAJANG/016008/18 dibuat oleh Pengerusi Mywatch, Datuk Sri Sanjeevan.
“Dalam laporan tersebut, beliau meminta pihak polis melakukan siasatan terhadap tuduhan yang dilakukan oleh satu blog beralamat di http://ttkmalaysia.blogspot.my/2018/04/panas-5-mesin-atm-kesayangan-puteri.html .
“Apabila saya membuat pautan tersebut, saya terkejut apabila mendapati semua posting di blog tersebut dibuat atas nama saya yang ditulis sebagai Muhammad Harris Nasril.
Baca: Mywatch Lapor Polis Kes Calon Sogok Nurul Izzah
“Ini jelas satu pencurian identiti yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Saya tidak pernah langsung menulis apa-apa posting di blog tersebut dan ia juga bukan dimiliki oleh saya.
“Malah nama sebenar saya adalah Muhamadd Harris Nasril, hanya mempunyai satu ‘M’ dan bukannya Muhammad Harris Nasril yang mempunyai dua huruf ‘M’,” katanya dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Bandar Kinrara, Puchong, pada pukul 1.18 petang tadi.
Tambah individu berkenaan, laporan polis itu dibuat bagi mempertahankan dan membersihkan dirinya selain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pemilik sebenar blog yang didakwa menyebarkan berita tidak sahih.
“Saya meminta pihak polis supaya menyiasat pemilik sebenar blog tersebut dan mengambil tindakan bukan sahaja kerana melakukan pencurian identiti saya tetapi blog tersebut juga melakukan fitnah dan penyebaran berita palsu,” katanya lagi. – MYNEWSHUB.CC