AKIBAT terlalu percayakan pemuda yang baharu dikenali, seorang gadis bawah umur menjadi mangsa rogol bergilir-gilir empat lelaki di sebuah kawasan tanah perkuburan di Surabaya, minggu lalu.
Memetik laporan Tribunnews, kejadian berlaku ada 11 April lalu ketika mangsa yang berusia 17 tahun datang ke bandar itu untuk mencari pekerjaan sebelum berkenalan dengan salah seorang suspek menerusi Facebook.
Pegawai polis Pelabuhan Tanjung Perak Surabaya, AKBP Antonius Agus Rahmanto berkata, remaja itu lalu diajak oleh suspek berusia 19 tahun untuk berseronok sambil meminum arak di kawasan perkuburan JI Pegirian, Semampir, Surabaya.
Katanya, sebaik sahaja mereka tiba di kawasan perkuburan tersebut, tiga lagi suspek yang masing-masing berumur antara 16, 19 dan 26 tahun kemudian datang dan duduk lepak bersama-sama.
“Suspek berusia 26 tahun mengarahkan dua lagi rakannya untuk membeli minuman keras, berkarbonat dan rokok.
“Sebagai alas duduk, suspek mengambil tikar yang digunakan untuk menutup mayat di keranda jenazah. Mereka berpesta minuman keras hingga mabuk,” kata Agus seperti dilapor portal berkenaan pada Isnin.
Beliau menambah kesemua suspek kemudian menggunakan kesempatan untuk merogol mangsa secara bergilir-gilir selepas gadis itu berada dalam keadaan mabuk.
“Puas menyetubuhi mangsa, suspek melarikan diri begitu saja. Mereka meninggalkan mangsa dalam keadaan telanjang di tanah kubur tersebut.
“Keesokan harinya, seorang lelaki yang datang membersihkan kubur menemui gadis tersebut terbaring dengan tubuhnya ditutup tikar lalu menghubungi pihak polis,” katanya.
Bertindak atas laporan lelaki berkenaan, Agus berkata pihaknya kini telah berjaya menahan dua suspek berusia 26 tahun dan 19 tahun, sementara dua lagi suspek masih giat diburu bagi membantu siasatan.
Sementara itu, ketika disoal siasat, suspek suspek berusia 26 tahun mengaku pergi ke tanah perkuburan tersebut selepas diajak oleh suspek lain, dan mendakwa hanya menyetubuhi mangsa sekali sahaja sebelum meninggalkan lokasi kejadian.
“Saya hanya melakukannya sekali saja, melakukan secara bergilir, setelah itu saya pergi dari tanah kubur tersebut,” akui bapa kepada seorang anak itu. – MYNEWSHUB.CC
*Video di bawah sekadar hiasan…