BALIK PULAU – Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menyifatkan cabaran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk berdebat dengannya adalah semata-mata bagi meraih kepercayaan rakyat dengan mengulangi isu-isu lama.
Dr Hilmi ketika ditemui hari ini, juga berkata beliau tiada masa untuk berdebat dengan timbalan presiden PKR itu dan tidak akan melayan cabaran berkenaan.
“Dia mahu berdebat apa? Isu apa? Saya tiada masa untuk semua itu. Kami nak jumpa rakyat, lebih baik daripada berdebat. Tiada faedah (untuk berdebat) pun,” katanya selepas program pemeriksaan kesihatan anjuran Zakat Pulau Pinang, di sini.
Mohamed Azmin ketika kunjungan ke Kampung Titi Teras, Balik Pulau 22 April lepas mencabar Dr Hilmi berdebat antaranya berhubung isu ekonomi dan pembesaran Hospital Balik Pulau.
Mengulas lanjut, Dr Hilmi berkata rakyat juga sudah muak dengan isu-isu kitar semula yang dibangkitkan pembangkang.
Mengenai pencalonan semula beliau untuk mempertahankan kerusi Parlimen Balik Pulau pada pilihan raya umum kali ini, Dr Hilmi berkata masyarakat Melayu, India dan Cina di Balik Pulau memberi jaminan untuk terus menyokong Barisan Nasional (BN).
“Jumlah pengundi di Balik Pulau bertambah lebih kurang 10,000 orang. Orang muda di kawasan ini memang menyokong kami dan saya harap sokongan itu dapat dikekalkan serta dapat menambah majoriti undi (BN),” katanya. – BERNAMA