SESIAPA sahaja yang mendengar radio pasti mengakui bahawa setiap kali mereka membuka radio, lagu hit nyanyian Dua Lipa berjudul New Rules pasti akan berkumandang di radio.
Tidak kiralah di mana, lagu New Rules akan bermain di minda sepanjang hari sekiranya terdengar lagu berkenaan walaupun hanya sekali setiap hari.
Lagu yang mengisahkan peraturan baharu buat wanita supaya mereka berjaya melupakan kekasih lama itu menjadi siulan masyarakat di seluruh dunia.
Lirik lagu berkenaan juga menjadi ingatan orang ramai dan lagu itu juga merupakan satu cara untuk wanita melupakan bekas teman lelaki mereka.
Justeru, Lipa mengakui terdapat segelintir pihak yang menuduh penyanyi itu membenci kaum lelaki hanya berdasarkan lirik yang terdapat pada lagu New Rules.
Bagaimanapun, Lipa menafikan dakwaan terbabit dan menganggap perkara itu hanyalah sebagai salah faham.
“Banyak lelaki datang kepada saya dan berkata anda benar-benar membenci lelaki, bukan? Itu adalah salah faham. Beberapa lagu memang tak ditapis dan saya memang jenis yang cakap lepas,” katanya kepada Teen Vogue.
Tambah penyanyi asal United Kingdom itu, lagu New Rules sebenarnya memperjuangkan semangat persaudaraan antara rakan wanita dan menyatukan mereka.
“Single berkenaan mengenai peraturan yang akan anda beritahu kepada rakan wanita. Saya berpendapat semangat seperti itu penting.
“Penting untuk mengambil berat dan menjaga hubungan sesama rakan perempuan,” katanya.
Malah, menerusi wawancara itu, Lipa turut secara berseloroh mncadangkan untuk menambah peraturan baharu dalam lagunya itu iaitu wanita perlu menyekat bekas kekasih di media sosial.
Lagu yang diperkenalkan pada Julai tahun lalu itu mencapai kejayaan besar di peringkat antarabangsa apabila mengungguli carta muzik di beberapa negara.
Malah, lagu tersebut juga menyebabkan nama Lipa kini meniti di bibir peminat dari seluruh dunia dan membuatkan dia dikenali ramai.
Lagu New Rules juga menjadi lagu pertama Lipa yang menduduki tangga teratas carta muzik di negara kelahirannya itu.
Selepas lagu sulungnya itu, single keduanya IDGAF juga mendapat tempat di hati pendengar sekaligus membuatkan Lipa antara penyanyi yang paling diminati ramai ketika ini.
Menceritakan perkembangan terkini kepada majalah itu, Lipa berkata dia akan melancarkan video muzik rasmi single terbaharunya berjudul One Kiss yang akan menyaksikan dia berkolaborasi bersama produser terkenal, Calvin Harris.
Jelanya, ini merupakan kali pertama mereka berkolaborasi dan bekerjasama dengan Calvin untuk mempromosikan video muzik One Kiss di media sosial.
Sementara itu, Lipa akan ke Malaysia menerusi konsert yang akan berlangsung di KL Live, Kuala Lumpur pada 3 Mei ini.
Ini bukan kali pertama Lipa akan membuat persembahan di Malaysia. Sebelum ini, dia pernah membuat persembahan di Good Vibes Festival di Genting Highlands, Ogos tahun lalu.
Kali ini, Lipa hadir sebagai artis terkenal antarabangsa yang telah mengecap kejayaan di peringkat dunia dan pasti akan menyebabkan rakyat Malayia tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini. – MYNEWSHUB.CC/EZ