Sunday, November 24, 2024

Creating liberating content

50 Bas Beroperasi Tahun...

MELAKA - Sebanyak 50 bas akan beroperasi di Bandaraya Melaka menjelang akhir tahun...

Jerebu: Kualiti Udara Seluruh...

KUALA LUMPUR - Kualiti udara di seluruh negara berada dalam keadaan baik dan...

AirAsia Lantik Park Ji-Sung...

AIRASIA Bhd melantik ikon bola sepak Korea Selatan yang juga bekas bintang Kelab...

1,213 Kes Baharu Covid-19,...

KUALA LUMPUR - Kes baharu positif Covid-19 dalam negara pada hari ini mencatatkan...

Ejen Mengundi ‘Mata’ Terbaik Pantau Proses PRU14

KUALA LUMPUR – Pilihan raya semakin hampir. Semua pihak seakan tidak sabar menanti bilakah tarikh keramat pembubaran parlimen yang bakal diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagi parti politik terutamanya dari Barisan Nasional dan Pakatan Harapan sudah bersedia untuk berjuang habis-habisan untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang turut mendapat jolokan ‘bapa segala pilihan raya’, oleh Perdana Menteri sendiri.

Daripada persiapan perang saraf hinggalah perang poster segalanya sudah tersedia, hanya menanti hari untuk digerakkan segala jentera.

Bahkan semakin hari semakin hangat pergeseran antara pemimpin parti-parti politik tanah air. Turut tidak ketinggalan, rakyat Malaysia yang sudah pun berada dalam ‘mood’ PRU melalui perbualan dan bahasan di kedai kopi, kenduri-kendara dan di alam maya.

Pun begitu, bagi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) ada satu perkara yang perlu diambil berat dan diperhatikan dengan teliti oleh setiap pihak yang bakal bertanding baik parti politik mahupun calon bebas.

Elemen yang dimaksudkan adalah untuk menyediakan jumlah Ejen Mengira Undi yang cukup untuk memantau proses pilihan raya demi kepentingan semua pihak yang bertanding.

ORANG KEPERCAYAAN PARTI

Menjawab tuntutan beberapa NGO dan parti politik yang berpendapat Malaysia memerlukan pemantau luar negara untuk memastikan ketelusan proses pilihan raya, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah menyarankan semua parti politik terlebih dahulu memastikan benar-benar memainkan peranan mereka pada hari pengundian berlangsung.

Beliau berkata demikian pada program Taklimat Media dan Pilihan Raya di Wisma Bernama baru-baru ini.

“Setiap parti diberi peluang memantau proses pengundian di setiap saluran mengundi. Ejen Mengira Undi setiap parti adalah orang kepercayaan parti yang diberi hak hadir di setiap saluran mengundi daripada sebelum saluran dibuka untuk proses pengundian sehinggalah selesai proses mengira undi,” kata beliau.

Mohd Hashim melahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah parti politik yang tidak mengambil berat keperluan menghantar wakil masing-masing sebagai ejen mengira undi.

PRU 14 akan menyaksikan 8,971 pusat pengundian dengan 29,097 saluran mengundi. Kiraan kasar mendapati jumlah keseluruhan ejen mengira undi yang diperlukan ialah 116,388 jika semua parti meletakkan wakil mereka di setiap saluran mengundi.

Malangnya masih ada parti yang memilih untuk tidak menghantar wakil mereka untuk bertugas. Bahkan sesetengah ejen yang dihantar memandang ringan tugasan yang diberi apabila mereka culas dalam tugasan seperti tidak hadir pada waktu yang ditetapkan, dan meninggalkan tempat duduk ketika sedang bertugas.

SPR pula tiada kuasa yang diperuntukkan dalam peraturan pilihan raya untuk menghalang sekiranya ada ejen yang tidak hadir atau keluar daripada saluran mengundi sewaktu proses pengundian sedang berlangsung.

PILIH BULU

Menambah parah lagi keadaan ini adalah bila barisan kepimpinan parti itu sendiri yang membuat keputusan ‘pilih bulu’ dengan meletak ejen hanya di beberapa pusat dan saluran pengundian dan mengabaikan sebahagian pusat dan saluran pengundian yang lain.

Namun apabila keputusan tidak memihak kepada mereka, timbullah syak wasangka yang biasanya diikuti dengan tuduhan berbaur fitnah.

Atas sebab inilah Mohd Hashim berpendapat, pada PRU 14 yang disifatkan paling sengit dalam sejarah nanti, pihaknya akan memandang serius tindakan mana-mana pihak yang bertanding tetapi tidak menghantar ejen di saluran-saluran mengundi.

Beliau menujukan hal ini kepada semua parti politik termasuk calon bebas yang bakal bertanding.

“Kita akan fikirkan sesuatu untuk menangani hal ini. Mungkin kita akan siarkan senarai calon yang tidak menghantar ejen di laman sosial atau sesuatu seperti itu supaya masyarakat tahu adakah pihak parti sendiri serius memainkan peranan mereka dalam memastikan perjalanan pilihan raya yang adil dan bersih,” jelas Mohd Hashim.

PEMERHATIAN KETAT

Sementara itu, Pengarah Akademi Pilihan Raya, Hasanul Isyraf Naim berkata ejen mengira undi diberikan peluang untuk hadir di saluran mengundi seawal 7.30 pagi.

Hadir awal membolehkan ejen-ejen pihak yang bertanding memantau sendiri proses di saluran mengundi bermula daripada pematerian peti undi, proses mengundi sehinggalah proses pengiraan undi selepas saluran mengundi ditutup.


“Hanya selepas ejen-ejen berpuas hati bahawa peti itu kosong barulah ia dimateri. Sepanjang proses mengundi para ejen boleh memantau setiap pengundi yang masuk, melihat sendiri mereka mencelup jari ke dalam dakwat kekal serta memastikan pemberian kertas undi dibuat dengan betul,” jelas Hasanul.

Selesai proses mengundi, kertas-kertas undi akan dikira di saluran mengundi masing-masing dan ejen mengundi boleh terus memantau proses pengundian.

Perkara pertama yang dibuat oleh petugas SPR adalah mengira kertas undi di dalam peti undi dan membandingkannya dengan jumlah kertas undi yang dikeluarkan kepada pengundi. Proses ini penting bagi memastikan tidak ada kertas undi yang lebih wujud di dalam peti undi.

Hanya selepas semua ejen berpuas hati, barulah proses mengira undi dilaksanakan dan didokumenkan. Setiap ejen mengira undi diberi salinan dokumen untuk kegunaan parti masing-masing.

Dengan cara ini tiada pihak boleh cuba mengubah sebarang maklumat tentang keputusan pengiraan undi di setiap saluran kerana dokumen keputusan kiraan undi ada dalam simpanan semua wakil parti yang bertanding.

PERANAN PENGUNDI

Sesuai dengan kehangatan PRU kali ini, Mohd Hashim turut menyeru semua rakyat Malaysia menggunakan hak masing-masing dalam proses demokrasi negara dengan pergi mengundi.

Sehingga suku keempat 2017 rekod SPR mencatatkan 14,968,304 pengundi berdaftar. Lebih separuh daripadanya perempuan dengan peratusan 50.6 peratus (7.5 juta) manakala 49.9 peratus (7.3 juta) lagi ialah lelaki.

Daripada jumlah ini, 6.2 juta pemilih berumur antara 21 hingga 39 tahun.

Beliau turut menyatakan kekesalan terhadap 3.6 juta warga Malaysia berumur lebih 21 tahun yang masih belum mendaftar sebagai pemilih kerana percaya dengan penglibatan golongan ini dapat memberi kesan kepada pola pemilihan terhadap calon-calon pada masa hadapan.

Tambah beliau, walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak mewajibkan rakyat untuk mendaftar sebagai pemilih dan mengundi, kesedaran mengenai hak menentukan hala tuju masa hadapan negara seharusnya ada pada diri setiap warga negara.

Mohd Hashim turut mengulas mengenai kempen undi rosak yang tular dalam media sosial baru-baru ini dengan berkata ia adalah satu perbuatan yang tidak sepatutnya digunakan untuk meluahkan kemarahan mereka terhadap parti-parti politik.

“Dalam hal ini SPR tidak rugi apa-apa. Sepatutnya jika marah kepada parti politik, mengundilah,” kata beliau.

Pada PRU13 yang lepas sebanyak 173,868 atau 1.3 peratus undi ditolak telah direkodkan daripada keseluruhan 13.26 juta pengundi.

MENGHADAPI TOHMAHAN

Sebagai badan bertanggungjawab mengelola proses pilihan raya di negara ini, SPR tidak pernah sunyi daripada kecaman dan tohmahan.

Pelbagai pihak mendakwa proses demokrasi di negara ini sudah tidak lagi telus dan memihak kepada pihak-pihak berkepentingan.

Bagaimanapun bagi Mohd Hashim apa yang penting adalah pihaknya menjalankan tugas dengan sebaik mungkin bagi memastikan kelancaran proses demokrasi negara yang dicintai.

Ini adalah kali pertama beliau memimpin SPR menghadapi PRU sejak mula menjawat jawatan tertinggi organisasi itu pada Januari 2016.

Selain persiapan logistik menyediakan kelengkapan untuk proses pilihan raya, SPR sedang sibuk mengadakan siri jelajah memberi penjelasan proses pilihan raya kepada pelbagai pihak seperti badan-badan kerajaan dan pihak lain yang berkepentingan. – BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan:
  • PRU14

Kategori