TERDAHULU kita dikejutkan mengenai penyanyi, Aiman Tino terkejut ditampar pelakon senior, Fazlina Ahmad Daud gara-gara sukar menjiwai babak emosi ketika membintangi drama bersiri, Mak Cun 4.
BACA : Aiman Sanggup Ditampar Ulang Kali Demi Watak
Susulan perkara itu, pengarah terkenal, Erma Fatima tampil menjelaskan keadaan sebenar di sebalik berlakunya perkara berkaitan.
Menurut Erma, beliau enggap melayan perkara remeh seperti itu dan menganggap isu berkenaan sengaja diperbesarkan oleh pihak luar.
Malahan, Erma berkata kedua-dua ibu bapa Aiman turut berada di lokasi dan menjelaskan bahawa mereka lebih tahu apa yang terjadi ketika itu.
“Ia jadi kecoh disebabkan pihak luar yang sengaja perbesarkan isu ini. Sedangkan hakikat sebenar Aiman yang minta tolong Fazlina beri ‘mood’ kepadanya agar menangis.
“Malah, adegan tampar berkenaan tidak berlaku pun. Fazlina hanya pegang muka Aiman,” kata Erma dipetik Harian Metro.
Selain itu, Erma yang juga pelakon drama terbabit turut menafikan insiden itu sengaja dibuat bagi meraih publisiti.
“Lagi satu, saya tidak perlukan publisiti murahan sebegini untuk menguar-uarkan drama saya. Siri Mak Cun sudah dikenali dari musim pertama lagi,” ujarnya.
Drama siri Mak Cun musim keempat akan kembali menemui penonton bermula 7 April ini, bersiaran setiap Sabtu dan Ahad bermula jam 7 malam di TV3.
Dibarisi beberapa pelakon hebat seperti Erra Fazira, Datuk Awie, Ziana Zain, Aiman Tino, Datin Paduka Umie Aida dan ramai lagi. – MYNEWSHUB.CC/AM