KUALA LUMPUR – Komuniti nelayan masih boleh menjalankan aktiviti penangkapan ikan kerana perintah berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) hanya bermula 6 petang hingga 6 pagi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata walaupun ia memberi kesan kepada aktiviti perikanan, namun perintah berkurung di Pantai Timur Sabah hanya melibatkan jarak tiga batu nautika hingga ke sempadan.
“Perintah berkurung merupakan pendekatan terbaik kerana ia menghalang kemasukan nelayan asing ke negara kita dan pada masa sama menghalang nelayan kita menangkap ikan di kawasan orang,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Bung Moktar bertanyakan mengenai perancangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menambah aset udara bagi meningkatkan keberkesanan operasi mengawal keamanan di ESSZone terutama ketika pencerobohan nelayan di perairan Pantai Timur Sabah yang menyebabkan kerugian hasil tangkapan berjumlah berbilion ringgit, sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga ikan.
Shahidan berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan nelayan asing dan memastikan nelayan tempatan dapat menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan perairan negara dengan aman.
Dalam pada itu, beliau berkata ESScom bersedia memohon peruntukan tambahan bagi penambahan aset udara, jika perlu. – BERNAMA