KULIM – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada tahun ini menyasarkan untuk mewujudkan 5,000 petani kontrak FAMA bagi meningkatkan hasil tanaman dan kebolehpasaran hasil tani di negara ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Ishak berkata indikator terkini iaitu peningkatan 10 peratus dalam penghasilan dan pemasaran produk membuktikan petani kontrak mampu mengatasi ketidakboleh pasaran.
“Sasaran kita adalah 5,000 peserta dengan keluasan bertanam 10,000 hektar untuk anggaran keluaran 400,000 tan hasil tanaman. Daripada hasil keluaran itu, kita boleh hasilkan pengeluaran pada harga ladang dengan nilai RM800 juta,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata FAMA juga akan membantu petani kontrak itu menyesuaikan produk mereka dengan pengusaha industri memandangkan garis panduan khusus mengenai jenis tanaman serta bila dan di mana tanaman itu dilakukan telah diberi.
Katanya dengan garis panduan khusus itu, mereka akan menjadi pengedar bahan mentah utama kepada puluhan industri berasas tani di seluruh negara.
“Sebagai contoh, jika mereka tanam pisang, kita akan padankan dengan pengilang kerepek. Jadi hasil mereka sudah mempunyai tempat tetap untuk dipasarkan. Bukan itu saja, kita juga membantu dengan menetapkan harga lantai bagi produk tertentu seperti cili dan timun bagi mengawal harga dalam pasaran,” katanya.
Ahmad berkata selain memenuhi keperluan bahan mentah kepada institusi terutama pengilang, petani kontrak FAMA juga berpotensi dalam memenuhi keperluan eksport hasil segar negara.
“Paling utama, mereka ini dapat menjual terus dari ladang atau di pasaran dengan harga lebih berbaloi tanpa orang tengah,” katanya. – BERNAMA