KATA orang kalau artis cantik, mesti dah ada teman lelaki… Tapi bagi pelakon Farah Nabilah, dia masih belum bersedia untuk membahagikan masa antara kerjaya dan kehidupan peribadi.
Farah yang mula dikenali menerusi drama rantaian kegemaran ramai, Titian Cinta menegaskan bahawa kini komitmennya lebih kepada kerjaya seni berbanding hal lain.
“Saya sememangnya solo sejak mula menceburi bidang seni. Teman lelaki saya ialah bidang kerja. Saya sendiri terlalu sibuk dengan kerjaya, jadi, pastinya saya akan simpati andai mempunyai kekasih kerana tiada masa untuk dirinya,” katanya dipetik daripada portal BH Online.
Bagi gadis berusia 26 tahun itu, dia sememangnya berpegang teguh kepada prinsip dirinya yang tidak akan terlalu ‘kecoh’ tentang kehidupan peribadi kerana lebih selesa sekiranya dirinya dikenali disebabkan bakat dalam lakonan.
“Sejak di bangku sekolah dan kolej lagi, saya memang tidak suka bercerita mengenai kehidupan peribadi. Perkara itu hanya diketahui oleh keluarga terdekat.
“Bagaimanapun, saya masih lagi berkawan dengan bekas teman lelaki kerana kami mempunyai kelompok kawan yang sama.
“Jika ada kelapangan masa pula, saya lebih selesa bersama keluarga. Saya bukan jenis yang suka bersosial,” tambahnya lagi.
BACA: Peminat ‘Restu’ Zul-Farah, Takkan Bercinta Dengan Lizzy
Baru-baru ini, Farah atau lebih mesra disapa dengan nama Fawa kelihatan mesra bergambar bersama hero gandingannya iaitu Zul Ariffin dalam drama Titian Cinta.
Sisebabkan gambar mereka yang agak mesra itu, ramai peminat mendoakan jodoh Farah dan Zul berpanjangan sekiranya mereka benar-benar sedang mengenali hati budi masing-masing.
Dalam masa yang sama, bekas juara Program Pencarian Wajah Aurawhite itu baru sahaja selesai menjalani penggambaran bagi drama berjudul Halalkan Hati Yang Ku Curi bersama dengan Aliff Aziz.
Drama 27 episod itu bakal menemui penonton pada bulan Ramadan ini.
Seperti kebiasaan, sebelum memulakan sesi penggambaran, Farah pasti akan duduk semeja bersama dengan pelakon gandingannya dan membincangkan beberapa perkara pantang larang masing-masing.
“Lazimnya, saya berbincang terlebih dulu dengan gandingan mengenai apa yang boleh atau sebaliknya ketika berlakon. Saya tidak mahu melanggar batasan kerana status pelakon kita adalah pelbagai.
“Saya, umpamanya, turut memiliki prinsip tersendiri. Apa yang boleh dielak, saya cuba hindarkan.
“Kita pun ada pelbagai teknik kamera untuk menggambarkan sesuatu keadaan. Saya amat memahami sekiranya ada pihak yang menjaga sensitiviti dalam lakonan,” ujarnya lagi.
Selain itu, drama tersebut turut mengadakan penggambaran di sekitar Switzerland dan Itali. – MYNEWSHUB.CC/ AH