ARAU – Pemilik yang memasang bendera parti pada kenderaan mereka diingatkan supaya mengutamakan aspek keselamatan agar tidak membahayakan pengguna jalan raya bagi elak berlaku kemalangan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Shahrul Azhar Mat Dali berkata agensi itu akan memantau kenderaan yang memasang bendera parti sehingga menjejaskan pemandangan pemandu di jalan raya sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlangsung.
”Dalam keghairahan membangkitkan semangat para penyokong parti-parti masing-masing, kemungkinan bendera yang dipasang turut mengganggu konsentrasi pemandu.
“Justeru, kita akan lihat pada keadaan pemasangan bendera. Jika perlu, kita akan beri nasihat,” kata Shahrul Azhar kepada media selepas merasmikan sambutan ulangtahun ke-72 JPJ peringkat negeri di jabatan itu di sini, hari ini.
Menurutnya saiz bendera yang dipasang mestilah bersesuaian termasuk yang dipasang pada motosikal agar tidak mengundang kecelakaan apabila berlaku angin kuat atau hujan lebat.
Pada majlis itu beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada warga jabatan yang memberikan perkhidmatan cemerlang serta sijil penghargaan kepada agensi media di Perlis sebagai tanda penghargaan atas sumbangan masing-masing. – BERNAMA