PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional (Finas) memandang serius isu filem Dukun yang menjadi mangsa cetak rompak dan masih menunggu laporan daripada pihak penerbit berhubung isu ini.
Ketua Pengarah Finas, Datuk Fauzi Ayob berkata, pihaknya telah mengambil langkah penting bersama-sama beberapa agensi kerajaan dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Membanteras Cetak Rompak Digital bagi membanteras masalah itu.
“Finas berharap agar peniaga dan pembeli sedar akan tindakan perdagangan cetak rompak adalah salah di sisi undang-undang sebagai contoh dari sudut undang-undang, penyalinan, pengedaran dan penggunaan produk harta intelek secara haram tanpa izin pemegang hak cipta bagi merupakan satu kesalahan menurut Akta Hak cipta 1987.
“Malah, Finas juga mengambil serius pihak tidak bertanggungjawab yang melanggar Akta Finas 1981 iaitu mereka yang menjalankan aktiviti pengedaran dan pameran filem tanpa lesen,” kata beliau dipetik sebuah portal online.
Fauzi berkata lagi, perkara ini tidak boleh dipandang enteng oleh semua pihak dan kesedaran sivik serta moral penonton untuk menghormati hak cipta dan harta intelek pihak karyawan adalah tunjang utama.
Sehubungan itu, semua pihak termasuk orang ramai digesa untuk memberi perhatian serius serta bertungkus lumus dan berganding bahu bagi membanteras dan membasmi permasalahan ini.
“Di pihak Finas, penguatkuasaan berterusan di seluruh negara bagi membendung ini melalui peruntukan Akta Finas 1981 (Pindaan 2013) selain promosi dan hebahan melalui penerbitan iklan hentikan cetak rompak terus diperkasakan dengan jaringan kerjasama pihak pempamer dan penyiar dari masa ke semasa,” ujar Fauzi lagi.
Dukun yang terpaksa disimpan selama 12 tahun akhirnya dapat bertemu penonton di layar perak buat kali pertama pada 5 April lalu.
Filem arahan Dain Said itu mencatatkan sejarah buat syarikat penerbitannya apabila berjaya meraih kutipan tertinggi sehingga RM1.5 juta pada hari pertama tayangannya. – MYNEWSHUB.CC/AM