MELAKA – Program Fit Malaysia yang mula diperkenalkan sejak 2014 merupakan platform efektif dalam mempromosikan aktiviti sukan dan kecergasan kepada masyarakat, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dan ia menunjukkan amalan gaya hidup sihat semakin mendapat perhatian rakyat di negara ini.
“Impian saya mahu lahirkan wira sukan dan menjadi sebuah negara bersukan yang hebat. Tahun lepas kita muncul johan keseluruhan Sukan SEA dan saya yakin pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo kita tamatkan penantian kemenangan pingat emas pertama Malaysia.
“Untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang fit dan cergas kita perlukan rakyat yang sihat. Kita lawan penyakit-penyakit seperti kencing manis, sakit jantung dan obesiti.
“Justeru, medium seumpama ini, ia sedikit sebanyak membantu kita melahirkan generasi sihat dan produktif,” katanya ketika berucap pada program Fit Malaysia peringkat Melaka di Padang Awam Taman Seri Telok Mas, di sini hari ini.
Program yang dirasmikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Muhamad dan Exco Kesihatan, Sukan dan Antidadah Melaka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim.
Pelbagai aktiviti kecergasan diadakan pada program Fit Malaysia yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan termasuk larian 5 kilometer (km) dan 10km, berbasikal 10km dan 30km serta senamrobik.
Khairy berkata kehadiran lebih 10,000 peserta merangkumi pelbagai usia daripada kanak-kanak hingga warga emas memeriahkan Fit Malaysia kali ini juga membuktikan masyarakat semakin sedar akan pentingnya menjaga kesihatan.
Sementara itu, Idris berkata orang ramai yang hadir pada program kali ini menggambarkan bahawa masyarakat di negeri ini mahukan kemakmuran secara berterusan dalam membudayakan gaya hidup yang sihat.
“Seperti sedia maklum, Melaka merupakan juara kepada Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia dengan skor 8.25. Antara punca keluarga sejahtera adalah dengan mengamalkan kehidupan sihat seperti bersukan.
“Melaka akan terus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat serta memastikan bakal ada penambahbaikan terhadap program-program sebegini pada masa hadapan,” katanya. – BERNAMA