BARISAN Nasional Kedah tidak gentar berdepan Pengerusi pakatan harapan Tun Mahathir Mohamad yang akan bertanding di Langkawi atas tiket PKR dan anaknya Datuk Seri Mukhriz di Jerlun kerana BN ada calon yang berkaliber, kata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Beliau yakin calon-calon BN itu boleh berkhidmat dengan baik kepada rakyat.
Semalam, Mahathir turut mengumumkan bahawa Mukhriz juga akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Jitra.
Ahmad Bashah berkata rakyat Langkawi perlu berhati-hati dan menilai sendiri tindakan Dr Mahathir seperti ‘kacang lupakan kulit’ kerana beralih arah ke Langkawi meninggalkan kawasan Parlimen Kubang Pasu yang pernah diwakilinya selama 30 tahun.
“Beliau perlu ingat selama ini rakyat Kubang Pasu yang menyokong dan membolehkannya bertanding atas tiket BN sehingga mampu menjadi perdana menteri,” katanya.
“Rakyat Kubang Pasu pilih dia selama 30 tahun kena tinggal, tak kan rakyat Langkawi nak jadi macam tu juga nanti dia lari lagi. Rakyat juga kena tahu apa juga pembangunan yang pernah Tun Dr Mahathir lakukan di Langkawi adalah kerana kerajaan dan bukannya atas individu,” katanya.
Sementara itu, bekas pengasas PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, satu kesilapan besar jika penduduk Langkawi mengundi Dr. Mahathir pada PRU-14 adalah amalan kronisme akan berterusan.
Katanya, sewaktu 22 tahun memerintah negara, Mahathir menjadikan Langkawi sebagai tempat menjaga kepentingan sendiri dan kroni-kroninya.
“Penduduk Langkawi kebanyakannya terlibat dalam perniagaan. Mereka sudah pandai, hidup aman makmur, kaya raya. Jadi mereka juga sudah tahu parti BN yang banyak berjasa kepada pembangunan Langkawi, bukannya atas faktor Mahathir itu sendiri.
“Kedai roti milik Mahathir, The Loaf sendiri tutup di Langkawi dan di seluruh negara. Itu membuktikan Mahathir sudah tidak berkemampuan dan tidak boleh mengurus. Jadi, bagaimana dia hendak memimpin Langkawi,” katanya. – Agendadaily.com