SUASANA pilu menyelubungi rumah keluarga pensyarah warga Palestin yang ditembak mati Dr. Mohammed Fadi al-Batsh di Gaza, Palestin apabila mendapat khabar pemergian anak kesayangan mereka.
Lebih memilukan, ibu bapa Dr. Fadi memaklumkan kepada pihak media bahawa mereka sudah tujuh tahun tidak berjumpa dengan anak mereka itu sejak Dr. Fadi menetap di Malaysia.
Justeru, mereka memohon supaya jenazah Dr. Fadi pulang dibawa pulang ke Palestin dan dikebumikan di kampung halaman mereka di Jabalia, Gaza dan mahu menatap wajah pakar kejuruteraan elektrik itu buat kali terakhir.
Dalam pada itu, rakyat Palestin di Gaza turut meratapi pemergian pensyarah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkumpul di luar kawasan rumah keluarga Dr. Fadi membawa kain rentang yang terdapat wajah Dr. Fadi.
Keluarga pensyarah itu juga percaya bahawa anak mereka yang berusia 35 tahun itu menjadi mangsa pembunuhan terancang agensi perisikan Israel, Mossad.
Baca:Â Imam Palestin Dibunuh Di KL Oleh Ejen Perisik Luar?
Mereka juga meminta pihak berkuasa Malaysia untuk menyiasat pembunuhan kejam ini dengan terperinci supaya suspek tidak terlepas dan segera dibawa ke muka pengadilan.
Pergerakan Islam Palestin berkata Dr. Fadi, yang merupakan seorang saintis penyelidikan yang mengkhususkan diri dalam isu-isu tenaga, adalah salah seorang anggotanya.
Hamas tidak menuduh Israel membunuhnya tetapi memanggil Dr. Fadi sebagai martyr atau syahid, satu perkataan yang biasanya digunakan untuk orang yang dibunuh oleh tentera Israel.
Mengikut perancangan awal, jenazah Dr. Fadi akan dikebumikan pada tengah hari tadi di Tanah Perkuburan Batu Muda selepas dibedah siasat.
Namun, buat masa ini, perancangan tersebut ditangguhkan dan menunggu ketibaan abang mangsa yang dijangka tiba dari Jerman petang ini.
Menurut laporan media, pihak keluarga dan rakan-rakan Allahyarham dilihat berkumpul di ruang menunggu rumah mayat Hospital Selayang sejak jam 7.30 pagi lagi.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi semalam, Dr. Fadi ditembak mati ketika berjalan ke surau yang terletak hanya 200 meter dari rumah kediamannya di sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak, untuk menunaikan solat subuh.
Allahyarham Dr. Fadi meninggalkan seorang balu dan juga tiga anak kecil berusia enam, empat dan satu tahun. – MYNEWSHUB.CC/EZ