KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan kontinjen negara menambah dua lagi pingat emas dalam temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.
“2 lagi emas hari ini untuk Malaysia! Tahniah @emmafiryana & Siti Zalina Ahmad pingat emas ke-4 acara boling padang & Amy Kwan Dict Weng emas ke-5 acara gimnastik berirama!,” katanya menerusi akaun Twitter hari ini.
Temasya sukan itu menyaksikan Siti Zalina Ahmad yang bergandingan dengan Emma Firyana Saroji meraih pingat emas keempat negara dalam aksi final acara boling padang berpasangan wanita.
Emas kelima disumbangkan atlet gimrama Amy Kwan Dict Weng melalui acara riben, sekali gus mengakhiri kemarau emas selama lapan tahun bagi skuad gimrama negara ke Sukan Komanwel.
Kejayaan kontinjen negara pada hari ini meletakkan Malaysia di tangga ke-10 setakat ini dengan pungutan lima pingat emas, lima perak dan sembilan gangsa. – BERNAMA