ARAU – Kualiti graduan sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) harus berada pada tahap kebolehpasaran yang tinggi selaras dengan keperluan dan kehendak kerjaya masa kini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kualiti graduan merupakan satu daripada aspek penting dalam memastikan peningkatan produktiviti serta kelancaran organisasi.
“Oleh itu, para pelajar dinasihatkan supaya lebih proaktif, peka dan rajin menimba ilmu untuk menghadapi cabaran Industri 4.0 ini,” titah baginda ketika berangkat merasmikan program Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis di Kolej Vokasional Arau di sini, hari ini.
Baginda bertitah kemantapan graduan TVET juga perlu dikembangkan secara holistik ekoran cabaran bidang kerjaya masa kini yang semakin moden melalui aplikasi robotik dan digital.
Setiap graduan perlu menguasai pelbagai kemahiran antaranya pemikiran kritikal dalam penyelesaian masalah, komunikasi berkesan, keupayaan berkolaborasi, di samping mempunyai kreativiti serta kesejahteraan emosi, titah baginda.
Majlis disertai 528 pelajar kolej itu turut dihadiri Pengarah kolej Mohd Jelani Yaacob dan Setiausaha YTSP Perlis Datuk Johari Mohd Darus. – BERNAMA