KUALA LUMPUR – Keputusan Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo dan simbol Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) merupakan satu rancangan yang mengelirukan rakyat dan akan hanya menguntungkan DAP.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuaib berkata keputusan itu membolehkan DAP mengeksploitasi PKR dan menjadikan parti pimpinan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu sebagai alat meraih pengundi Melayu.
āPKR terbukti menjadi alat dan terpaksa membiarkan logo mereka diklonkan parti lain. Ini bukanlah perjuangan sebuah parti politik yang mempunyai jati diri sebenar.
āDalam keadaan itu DAP lah yang paling beruntung kerana berjaya menyembunyikan agenda āMalaysian Malaysiaā serta tahu pengundi Melayu fobia apabila melihat logo roket dan tidak akan mengundi parti itu sekiranya menggunakan logo sendiri,ā katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Katanya tindakan tersebut juga satu strategi DAP untuk menarik pengundi PAS yang ternyata selama ini menolak perjuangan mereka dan lebih āmesraā dengan PKR.
Pendapat sama, turut disuarakan Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah yang menurutnya, ia adalah usaha terdesak DAP yang menyedari imej mereka sudah tidak diterima rakyat ekoran dihujani pelbagai skandal termasuk isu projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Apatah lagi memandangkan PH dilihat sudah tidak mempunyai pilihan lain melainkan terpaksa menggunakan logo PKR memandangkan parti komponen lain masih baharu dan tidak kukuh.
āBukanlah bermaksud PKR diterima tetapi dalam kalangan sekutu PH hanya PKR yang boleh āpakaiā. Mungkin mereka berpandangan parti komponen lain tidak boleh meraih undi,ā katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman berkata tindakan itu dilihat akan menimbulkan tidak puas hati penyokong tegar Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad akan merampas aura bekas ketua pembangkang itu.
āMungkin penyokong PKR tidak akan dapat melupakan kisah lama bagaimana Anwar meringkuk di penjara akibat percaturan politik Dr. Mahathir dahulu.
āKini tiba-tiba Dr. Mahathir pula yang guna logo dan simbol PKR dan akan diangkat menjadi perdana menteri menyebabkan pengundi merasa pelik,ā katanya.
Ismail juga tidak menolak kemungkinan berlakunya protes senyap daripada penyokong DAP yang tidak bersetuju logo parti mereka tidak digunakan manakala penyokong PKR bertindak sama kerana penggunaan logo oleh parti lain.
Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd Fuad Mat Jali pula mengingatkan pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN) supaya tidak memandang enteng tindakan PH yang cuba menunjukkan solidariti mereka kepada rakyat.
Katanya PH juga menunjukkan mereka akan melakukan apa sahaja untuk menumbangkan BN, termasuk berkompromi serta menggunakan logo PKR.
āTindakan PH seolah-olah mahu memperlihatkan pembubaran sementara oleh RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) tidak menggugat PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) selain menunjukkan mereka tidak mempunyai masalah walaupun tidak dapat menggunakan logo sendiri,ā katanya. – BERNAMA