SEBANYAK 28,399 model kenderaan Honda di Malaysia yang dikeluarkan pada 2013 dipanggil balik bagi menggantikan semula beg udara hadapan penumpang buatan Takata.
Lapor Harian Metro, tindakan tersebut dilakukan sebagai langkah proaktif berterusan syarikat automotif atas faktor-faktor keselamatan buat pemandu dan penumpang kenderaan tersebut.
Antara model yang terjejas ialah Honda City (14,944 unit), Honda Jazz (6,874 unit), Honda Jazz Hybrid (6,211 unit) dan Honda Insight (370 unit).
Sehingga Mac lepas, Honda Malaysia telah menggantikan lebih daripada 435,000 unit, atau 77 peratus inflator beg udara bahagian hadapan dan bahagian pemandu Takata daripada kenderaan tahun 2013.
“Kami akan terus proaktif memanggil balik kenderaan dan terus memberi peringatan dan memaklumkan kepada pelanggan akan kepentingan untuk menggantikan inflator beg udara kenderaan terbabit menerusi media sosial dan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS),” lapor Honda Malaysia dalam satu kenyataan semalam.
Menurut syarikat itu lagi, pelanggan yang menerima surat ini digalakkan untuk hantar kereta mereka ke pengedar sah Honda terdekat atau Mobile Hubs secepat mungkin bagi mendapatkan pemeriksaan dan penggantian percuma.
Bagaimanapun bagi model kereta Honda keluaran terbaharu, ia tidak terbabit dalam penggantian semula beg udara hadapan penumpang tersebut. – MYNEWSHUB.CC/MIZE