RASMI… Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengadakan perbicaraan awam bagi dua kes Pulau Batu Puteh pada Jun ini, menurut badan kehakiman Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu semalam.
Ia berlangsung selama empat hari berhubung permohonan untuk menyemak semula keputusan pada 23 Mei 2008 bagi kes melibatkan kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan pada 11, 12, 13 dan 18 Jun depan.
Selain itu, ICJ juga akan mengadakan perbicaraan awam selama empat hari bagi permintaan berhubung tafsiran keputusan dibuat pada 23 Mei 2008 yang ditetapkan dari 18 hingga 19 Jun dan 21 hingga 22 Jun ini.
Kedua-dua perbicaraan awam itu akan diadakan di Peace Palace di The Hague, Belanda. Pemerintah Singapura merujuk nama ketiga-tiga lokasi berkenaan sebagai Pedra Branca, Middle Rocks dan South Ledge.
Batu Puteh – pertama kali dituntut sebagai sebahagian daripada kedaulatan Kesultanan Johor pada 1979 lepas, namun pihak berkuasa Singapura membantahnya dan perkara tersebut dibawa pula kepada ICJ.
Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan bahawa Singapura berhak ke atas kedaulatan Batu Puteh manakala Batuan Tengah diberikan kepada Malaysia dan Tubir Selatan menjadi milik negara yang perairannya terletak berdekatan.
Pada Februari 2017, Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuat kejutan apabila bertindak memfailkan permohonan untuk semakan semula keputusan yang dibuat panel ICJ tersebut.
Malaysia membuat permohonan untuk menyemak semula keputusan itu, sambil menegaaskan terdapat “fakta baru” dari tiga dokumen diperoleh dari Arkib Negara United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017.
Dalam kes yang berasingan, pada 30 Jun 2017 pula, Malaysia sekali lagi memfailkan permohonan kepada ICJ yang meminta interpretasi atau tafsiran bagi keputusan yang pernah dibuat panel hakim itu pada 2008.
Permohonan baharu itu turut mendakwa bahawa Tubir Selatan dan perairan di sekeliling Batu Puteh sebenarnya adalah jelas terletak dalam kawasan perairan berdaulat milik Malaysia dan Kerajaan Negeri Johor.
Sebelum ini, Malaysia dan Singapura saling membentangkan kenyataan bertulis ekoran pemohonan Malaysia untuk menyemak semula dan mendapatkan tafsiran bagi keputusan ICJ. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA