PUTRAJAYA – Isu bekalan air bersih dan elektrik yang membelenggu penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak dijangka selesai tiga tahun lebih awal berbanding sasaran asal 2023, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata komitmen untuk menyelesaikan hingga 99 peratus masalah tersebut pada 2020 yang diserlahkan melalui manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) itu membuktikan keprihatinan kerajaan BN dengan permasalahan yang melanda masyarakat di negeri itu.
Katanya beliau percaya dengan akujanji itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyediakan peruntukan lebih besar kepada kedua-dua negeri, sekali gus menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk terutamanya di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.
“Akujanji itu bukan gimik menjelang PRU14 tetapi sejak Najib dilantik mengetuai kerajaan, Sabah dan Sarawak menerima peruntukan lebih besar dalam setiap bajet yang dibentangkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.
Ditanya bagaimana isu berkenaan boleh diselesaikan lebih cepat berbanding sasaran asal, Ismail Sabri berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan pengiraan kos daripada bajet tahunan yang diberikan sebelum ini.
“Sebab itu, saya yakin sasaran kerajaan untuk menyelesaikan isu air dan elektrik pada 2020 ini juga akan menyaksikan satu bajet yang besar diberikan kepada Sabah dan Sarawak,” katanya. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…