SELEPAS sekian lama menyepi, anak kepada pelakon Kazar Saisi iaitu Ira Kaza kembali menggemparkan dunia hiburan dengan kontroversi panas yang menjadi bualan ramai.
Difahamkan, gadis terbabit telah menimbulkan kekecohan selepas sekeping foto yang memaparkan dirinya mencium pipi seorang jejaka menjadi tular.
Sedar isu tersebut menjadi bualan hangat, Kazar atau nama sebenarnya Kazaruddin Saisi tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku dan mendedahkan secara teliti siapa jejaka berkenaan.
Menurut Kazar, jejaka dalam foto berkenaan adalah sepupu kepada Ira yang juga merupakan anak kepada Helmi The Gimmik.
Pun begitu, Kazar tidak bersetuju dengan tindakan Ira yang mencium pipi jejaka terbabit selain mengakui perkara tersebut adalah salah dan tidak sepatutnya dilakukan.
“Saya baru sahaja melihat foto terbabit apabila diberitahu oleh pihak media. Hubungan mereka memang terlampau rapat semenjak kecil.
“Namun, Ira tidak boleh cium pipi sepupunya dan dia juga tidak boleh memuat naik foto-foto sebegitu di laman sosial. Saya sudah berpesan kepadanya agar menjaga nama saya elok-elok.
“Perkara terbabit tak boleh dilakukan oleh Ira. Saya tak setuju, apatah lagi pandangan orang lain, pastinya tidak manis,” kata Kazar dipetik Astro Gempak.
Tambah Kazar, dia bagaimanapun hanya mampu memberi nasihat dan berharap agar Ira atau nama sebenarnya, Fadira Fatini Kazaruddin tidak lagi mengulangi perbuatan tersebut kelak.
“Saya hanya boleh menasihatkan dia. Budak-budak sekarang tidak boleh dimarahi. Saya sudah berpesan agar jaga diri elok-elok serta menjaga nama saya.
“Dalam Instagram saya sering menasihati orang lain, apabila perkara sebegini terjadi, saya takut orang akan cakap perkara lain pula,” kata Kazar lagi.
Dalam perkembangan lain, Kazar dikatakan bakal sibuk menjalani penggambaran super telefilem berjudul Budak Kripto yang bermula pada 25 April.
Selain Kazar, karya yang mendapat sentuhan pengarah, Din CJ itu turut menampilkan barisan pelakon berkaliber seperti Fahrin Ahmad, Liza Abdullah, Afifah Nasir, Accapan, Mamat Khalid serta dua orang pendatang baru iaitu Zam Azmi dan Nurul Hida. – MYNEWSHUB.CC/AM