MAKIN lama, makin banyak rezeki datang kepada penyanyi lagu Menahan Rindu, yang kini dikatakan telah menerima tawaran berlakon.
Sebagai pendatang baharu, Wany Hasrita semestinya mahu mengukuhkan namanya di dalam industri seni namun apakan daya, disebabkan jadual padat membuatkan Wany terpaksa menolak tawaran lakonan yang diterima.
“Jadual saya ketika ini memang agak padat, jadi mereka bimbang saya tidak mampu untuk beri komitmen jika tawaran lakonan diterima. Apatah lagi, berlakon ambil masa lama,” katanya dipetik BH Online.
Tambah Wany, dia sudah menerima beberapa tawaran tapi sayang, tawaran itu terpaksa ditolak selepas diteliti oleh syarikat pengurusan kerjayanya, FMC Music kerana khuatir dia tidak dapat melaksanakan tanggungjawab itu.
“Bagaimanapun, baru-baru ini saya ada menjayakan sebuah sitkom bersama kumpulan Zero. Lakonan saya dalam program itu cuma lima minit,” ujarnya.
Bagi gadis muda berusia 25 tahun itu, rezeki dalam bidang seni berada di mana-mana sahaja dan antara cabang seni lain yang sudah lama ditunggu, pastinya dia mengimpikan untuk menjadi seorang pelakon.
Namun, penyanyi berbakat besar itu tidak mempunyai sifat tamak di dalam dirinya kerana dia sendiri tahu batas kemampuannya.
Risau jika suatu hari nanti jika dia menerima tawaran berkenaan, dia bakal menyusahkan ramai pihak termasuklan krew produksi pula.
“Apatah lagi, hati saya ini boleh dikatakan ‘lembut’, jadi takut pula akan mudah tertekan. Kalau didengar cerita beberapa teman lain seperti Nabila Razali dan Amira Othman, ada masanya watak yang mereka lakonkan sampai terbawa-bawa sampai ke rumah,” tambahnya lagi.
Jadi, biarlah gadis lulusan ijazah sarjana muda Sains Perubatan dari Management & Science University (MSU) Shah Alam itu menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang nyanyian yang sudah sekian lama sebati dalam dirinya.
Dalam masa yang sama, Wany bakal mucnul dengan single baharunya tidak lama lagi walaupun sebelum ini dia sudah merancang untuk mengeluarkan album mini sahaja.
“Alhamdulillah, sehingga kini video Rindu Dalam Benci sudah menghampiri angka dua juta tontonan di YouTube. Insya-Allah, selepas ini album mini saya pula menyusul,” katanya.
Sebanyak lima buah lagu bakal dimuatkan didalam album berkenaan termasuk lagu yang menaikkan namanya, Menahan Rindu, Rintihan Rindu, Ewah Ewah, Semaikan Cinta dan Rindu Dalam Benci.
Wany kini sedang sibuk dalam proses mempromosikan single duet baharunya bersama dengan Tajul yang berjudul Rindu Dalam Benci.
Baru-baru ini, Wany juga sudah muncul dengan single irama Malaysia pertama nyanyainnya berjudul Ewah Ewah. – MYENWSHUB.CC/AH