IPOH – Seramai tiga kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) melakukan kelainan dengan berjalan kaki sejauh 1,600 kilometer membabitkan lima negeri untuk mengedarkan 10,000 risalah percukaian kepada orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN Datuk Seri Sabin Samitah berkata penganjuran menerusi Program Jalan Kaki Terjauh (JKT) itu bertujuan mendekati rakyat khususnya pembayar cukai dalam mempromosikan kesedaran membayar cukai.
Selain itu jelasnya, program berkenaan juga diharapkan boleh dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
“Selain pengedaran risalah percukaian, kakitangan berkenaan akan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) di beberapa lokasi terpilih iaitu di Kedah, Kuala Terengganu, Johor Bahru dan Melaka dan Perak,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran program itu di LHDN Cawangan Ipoh di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Jabatan Khidmat Korporat LHDN Rozina Shaik Osman Merican.
Program itu dan dijangka tamat pada 15 Mei ini. – BERNAMA